Muhamad Zaid (kiri) melihat kebun jagung Mohd Shahrul Izaudin yang diusahakan sejak 14 tahun lalu.
Nazdy Harun
cnews@nstp.com.my


Kuala Berang: Peserta tanaman jagung berkelompok di Kampung Gaung Pecung buntu apabila menanggung kerugian berterusan akibat tanaman rosak diceroboh babi liar.

Ia menyebabkan sebahagian daripada 40 peserta projek terpaksa memasang pagar elektrik, namun kos penyelenggaraannya menjadi bebanan kepada pekebun berkenaan.

Peserta Mohd Shahrul Izaudin Embong, 31, berkata, dia mengusahakan kebun jagung di kampung itu sejak 14 tahun lalu dan setiap tahun, tiga hingga empat pusingan tanaman dilakukan.

Bagaimanapun katanya, sejak kebelakangan ini kebun milik peserta sering diceroboh babi hutan menyebabkan banyak tanaman rosak dan pengusaha tidak dapat menuai hasil.

“Saya pernah kerugian lebih RM2,000 pada satu pusingan selepas semua pokok jagung yang diusahakan di tanah seluas 0.8 hektar musnah dan terpaksa ditanam semula,” katanya.

Rakannya, Che Aziz Che Mat, 55, berkata, sejak mengusahakan tanaman jagung berkelompok di kampung itu 20 tahun lalu, dia beberapa kali mengalami kerugian akibat pencerobohan babi hutan yang merosakkan tanamannya.

“Saya berharap pihak berkenaan datang dan mendengar masalah kami kerana tanaman jagung yang diusahakan ini adalah mata pencarian bagi menanggung keluarga.

“Sejak kebelakangan ini semakin banyak kelibat babi hutan berkeliaran dan cuba merosakkan tanaman yang kami usahakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gaung Pecung, Muhamad Zaid Mamat berkata, 40 peserta mengusahakan tanaman jagung berkelompok di tanah berkeluasan 32 hektar di kampung itu.

“Setiap pusingan, pekebun mampu memperoleh antara 70 hingga 80 tan hasil jagung yang ditanam secara berperingkat bagi mengelak berlaku lambakan.

“Kawasan tanaman jagung ini sebelum ini lebih terkenal dengan tanaman kacang, namun petani mula beralih menanam jagung sejak 1980-an,” katanya.

Menurutnya, tanaman jagung adalah sumber pendapatan penduduk sama ada yang mengusahakan tanaman mahupun yang menjualnya di tepi jalan, namun kebelakangan ini pekebun resah akibat pencerobohan babi.

Muhamad Zaid berkata, jagung yang ditanam di kampung berkenaan sangat terkenal dan boleh diperoleh dengan mudah sepanjang tahun berikutan pekebun menanamnya secara berperingkat mengikut pusingan tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:58 AM