SELEPAS 10 tahun dalam bidang seni, Nabil terpanggil tubuhkan Workshop For Art Performance.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bermula dengan ‘mat despatch’, pelawak, pelakon dan pengacara terkenal Nabil Ahmad kini sudah menempa nama dan populariti di persada hiburan tanah air.

Dalam tempoh 10 tahun, anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini sudah menggenggam pelbagai anugerah dan kejayaan dalam bidang pengacaraan.

Antaranya, juara Raja Lawak musim kedua, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009.

Tidak ketinggalan, Nabil juga diberi kepercayaan sebagai hos karpet merah, Anugerah Akademi ke-89 (Oscar) di Los Angeles, Amerika Syarikat tahun lalu.

Secara peribadi, Nabil, 35, mengakui masih dalam proses pembelajaran dalam bidang pengacaraan.

“Saya menjadikan Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil) sebagai idola dalam bidang pengacaraan. Pak Nil juga memiliki peminat daripada golongan kanak-kanak hinggalah dewasa.

“Sebab itu saya juga belajar daripada Pak Nil bagaimana menarik peminat kanak-kanak sekali gus strategi untuk terus relevan dalam bidang hiburan tanah air,” katanya.

Nabil ditemui pada sidang media Sedekad My Story Nabil Ahmad dalam industri yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Selepas 10 tahun dalam bidang seni, Nabil juga berasa terpanggil menubuhkan Workshop For Art Performance untuk membimbing pelakon dan pengacara supaya menjadi lebih bagus dalam karier mereka.

“Saya adalah pengasas bengkel ini dan objektifnya untuk membimbing pelakon supaya tidak digelar ‘pelakon kayu’ dalam lakonan.

“Barisan tenaga pengajar bengkel ini juga menampilkan nama besar seperti Fatimah Abu Bakar, Sharifah Shahirah, Namron, Bront Palarae dan Sharifah Amani,” katanya.

Kini Nabil juga mengembangkan sayapnya sebagai penerbit menerusi produksinya yang ditubuhkan bersama rakan kongsi iaitu KMN Production.

Menurut Nabil, antara projek terbitan produksinya ialah Supertele Hunters yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein.

“Saya sanggup mengambil risiko menerbitkan supertele ini kerana percaya ada penonton yang mahukan cerita yang mempunyai kelainan dan lebih berkualiti.

“Terbaru, saya akan hasilkan filem berjudul Unwonted dan jadi hero dalam cerita ini.

“Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan pengarah Ghaz Abu Bakar untuk filem ini nanti,” katanya.

Kongsi rezeki dengan peminat

Dalam tempoh 10 tahun, pelbagai pahit getir dilalui Nabil sepanjang meniti kehidupan sebagai anak seni.

Menurut Nabil, namanya juga pernah jatuh merudum selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.

“Ibu bapa di kampung juga kecewa apabila nama saya terpalit dengan pelbagai kontroversi ketika itu.

“Namun, selepas berkahwin dan memiliki anak, rezeki kembali mencurah dalam bidang seni tanah air,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-10, Nabil berkata, dia mahu berkongsi rezeki dengan peminat yang tidak jemu menyokongnya selama ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki daripada Allah SWT buat saya sekeluarga. Jika sebelum ini, saya sudah empat kali ditaja mengerjakan ibadah umrah dan haji, sampai masanya saya hargai peminat serta bawa mereka pula mengerjakan umrah pada Ramadan tahun ini.

“Hasrat saya untuk bawa peminat dan mereka yang tidak berkemampuan. Semoga apa yang direncanakan ini dipermudahkan Allah,” katanya.

Program My Umrah Story bersama Nabil Ahmad akan dikendalikan syarikat pengurusan,Urban Platinum Resources.

Tawaran sudah dibuka dan nama peminat yang terpilih mengerjakan umrah akan diumumkan pada majlis ulang tahun ke-10 pembabitan Nabil dalam seni pada 24 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:29 AM