SEORANG remaja lelaki diserang dengan kayu oleh enam lelaki di luar sebuah kedai serbaneka, di Tendong, Pasir Mas. FOTO Ihsan pembaca
Rosliza Mohamed
news@nstp.com.my

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki patah tangan selepas diserang enam lelaki yang dipercayai bersenjatakan kayu di luar sebuah kedai serbaneka di Tendong, Pasir Mas, semalam.

Akibat kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohammad Badrimin Adnan, 18, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa baru keluar dari kedai serbaneka berkenaan dan menuju ke arah motosikalnya.

Secara tiba-tiba, enam lelaki tidak dikenali tiba-tiba menyerangnya menggunakan senjata dipercayai kayu.

Mohammad Badrimin sebelum itu dalam perjalanan pulang selepas berjumpa rakannya di Bunut Susu, Pasir Mas.

Kejadian disedari pekerja kedai terbabit dan kemudian meminta bantuan orang awam untuk menghubungi Balai Polis Bunut Susu, Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif dan punca sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa berasal dari Bahau, Negeri Sembilan dan tinggal bersama bapa saudaranya di Pasir Pekan, Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:01 AM