STACY. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Penyanyi Ummu Shaikhah Stacy Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy, 28, berazam mengekalkan gaya hidup sihat dan meneruskan aktiviti kecergasannya.

Sejak habis berpantang selepas melahirkan Eshaal tidak lama dulu, dia melakukan aktiviti berkenaan demi menurunkan berat badan. Usahanya berhasil apabila kini kembali kepada berat badan idealnya iaitu 50 kilogram (kg).

Bagaimanapun, penyanyi Cakap Ke Tangan itu kini mahu meneruskan aktiviti itu demi staminanya sebagai penghibur. Apalagi dia pun memang dikenali sebagai ratu tari Malaysia.

“Sebelum ini, jadual saya sangat padat dan susah untuk mencari masa melakukan aktiviti kecergasan. Apabila saya sudah mengamalkan sendiri, banyak perbezaannya terutama daripada segi stamina.

“Lagipun, saya akan tampil dengan lagu rancak selepas ini. Jadi, saya mahu memiliki stamina yang cukup untuk setiap persembahan.

“Ramai orang cakap selepas bersalin persembahan saya pastinya tidak akan jadi sehebat sebelum ini. Disebabkan itu, saya mahu membuktikan tanggapan itu salah dan akan kembali lebih bertenaga,” katanya.

Stacy bagaimanapun tidak sangka hal itu berjaya dilaksanakannya sewaktu menjayakan persembahan di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), baru-baru ini. Baginya, itu baru sedikit dan yakin mampu beraksi lebih hebat selepas ini.

“Sebenarnya saya pun sangat terkejut dengan keupayaan di pentas ketika itu. Mana tidaknya, saya kena tukar pakaian beberapa kali dan tiada masa pun untuk menarik nafas di antara setiap lagu.

“Tak sangka reaksi yang saya dapat sangat memberangsangkan dan merasai perbezaan stamina sepanjang persembahan,” katanya.


STACY. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Berkongsi mengenai karier muziknya, Stacy mengakui agak risau dengan penjualan album fizikal yang tidak memberangsangkan.

Namun begitu, dia tetap menyimpan niat akan tampil dengan album fizikal.

“Saya percaya masih ramai peminat menghargai album fizikal dan mahu menyimpannya. Oleh itu, saya berazam menerbitkan album fizikal walau dengan apa cara sekali pun.

“Bagaimanapun, strategi saya sekarang pastinya masih dengan mengeluarkan single demi single terlebih dahulu. Saya tidak mahu terburu-buru dengan album dan biarlah single saya berjaya.

“Apa yang pasti, saya juga bakal tampil dengan lagu duet bersama suami pada tahun ini. Belum dapat lagu lagi, tetapi saya dan Akim akan menunaikan permintaan ramai mahu melihat gandingan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy mengakui sangat teruja apabila dipilih menjadi sebahagian daripada artis yang terbabit program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia peringkat Negeri Sabah 2018 pada 17 dan 18 Mac ini.

Menurutnya, ia satu peluang yang sangat dinantikannya memandangkan bukan saja ia dibuat di negeri asalnya, namun dia teringin menyumbang kepada masyarakat.

“Pengalaman saya sendiri dalam mencari kerja memang sangat banyak dan pernah melalui kesukaran itu. Dengan adanya program berkenaan, saya berharap dapat turun padang dan memberi motivasi kepada golongan muda terutama di Sabah,” katanya.

Selain Stacy, artis lain yang turut menjayakan program itu ialah Marsha, Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Ara Johari, Andi Bernadee dan Farish Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 6:58 AM