ANGGOTA Bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui terdampar di tebing sungai. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


KEGEMBIRAAN dua beradik mengikut bapa mereka memancing di Sungai Plaie di Kota Samarahan, bertukar tragedi apabila kedua-duanya lemas, hari ini.

Kejadian 1.25 tengah hari itu berlaku apabila perahu yang mereka naiki terbalik dan karam selepas dipukul angin kencang.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, bapa kepada kedua-dua mangsa, Peni Muhi, 39, yang mengemudi perahu berkenaan berjaya berenang ke tebing sungai.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua beradik itu, Mohd Haziq Nur Aiman, 15 dan Mohd Hazim Nur Aiman, 11, didapati hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan membabitkan tujuh anggota polis, 11 anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan dibantu sembilan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad berkata, mayat Mohd Haziq Nur Aiman ditemui pada 2.45 petang, manakala mayat adiknya, Mohd Hazim Nur Aiman pula ditemui pada 3 petang.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat terdampar di tebing sungai.

“Mayat mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 7:22 PM