ROHANI (tengah) reda dengan pemergian anaknya yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Gerik. FOTO Nik Aminah Yazmeen Ramsa
Nik Aminah Yazmeen Ramsa
cnews@nstp.com.my


“Arwah tidak sempat untuk meraikan sambutan hari jadi anak sulungnya selepas terbabit dalam kemalangan maut semalam,” kata Rohani Harun, 58, ibu kepada Mohd Shahrizal Abdol Kadir, 36, yang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 24, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di Gerik, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, Mohd Shahrizal dan pemandu Perodua Bezza, Ahmad Shadrul Amin Mohd Sauki, 22, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Rosli Hussin meninggal dunia di Hospital Gerik (HG), 7.25 malam tadi.

Anak kedua daripada lima beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Hala di Machang, 7 pagi tadi dan meninggalkan isteri, Azzlini Mat Isa, 35, dan tiga anak yang berusia empat hingga 10 tahun.

Sementara itu, Mohd Rosli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpol, Kemuning pagi tadi.

Rohani berkata, sebelum kejadian itu, arwah ada membuat perancangan untuk mengadakan majlis sempena hari jadi anak sulungnya Mohd Darwish Amsyar, 10,yang jatuh semalam.

"Untuk anak sulungnya itu, arwah merancang untuk mengadakan majlis dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, hasrat arwah tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan maut petang semalam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Hala, hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah pada Ahad lalu di kedai makan milik anak sulungnya itu.

"Kebiasaannya setiap kali berjumpa arwah akan memeluk dan mencium saya, namun perkara itu tidak dilakukannya ketika bertemu baru-baru ini.

"Memang saya tidak menyangka itu kali terakhir melihat wajah anak," katanya.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada kawan arwah berhubung kemalangan itu ketika berada di rumahnya pada 4.45 petang semalam.

"Saya terkejut selepas dimaklumkan perkara itu dan terus bergegas ke HG. Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Akhbar NSTP melaporkan siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Mohd Shahrizal dari arah Gerik ke Jeli itu bergesel dengan kereta yang datang dari arah bertentangan.

Motosikal Mohd Rosli yang berada di belakang Mohd Shahrizal cuba mengelak ke kiri jalan dan terbabas melanggar tembok.

Pada masa sama pelanggaran menyebabkan kereta berpusing dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan menghala ke Gerik manakala motosikal Mohd Shahrizal pula terbabas ke kiri sebelum dia tercampak ke dalam longkang di kiri jalan berkenaan.

Berita berkaitan

Identiti mangsa dikenal pasti

'Tiga maut, satu cedera'

Foto: Nik Aminah Yazmeen Ramsa

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 3:15 PM