KEADAAN kereta dan motosikal berkuasa tinggi selepas kemalangan menyebabkan tiga maut dan seorang cedera di Kilometer 24.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, petang ini. FOTO ihsan pembaca
Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@nstp.com.my


TIGA maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 24.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.53 petang.

Beliau berkata, anggota yang tiba di lokasi dimaklumkan kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza bertembung dengan dua motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, kemalangan menyebabkan seorang lelaki dalam kereta maut manakala seorang lagi cedera.

"Dua lagi kematian membabitkan mangsa lelaki yang menunggang motosikal.

"Dua daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba membantu membersihkan kawasan dan menyerahkan mangsa kepada polis dan ambulans untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat 5.25 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:45 PM