ANGGOTA polis menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


POLIS Pulau Pinang merampas dadah jenis ganja dianggarkan seberat 540 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.7 juta berikutan penahanan seorang lelaki dalam tiga serbuan di Kepala Batas, kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan pada 10 malam kelmarin, polis yang menerima maklumat memeriksa sebuah Proton Wira dipandu lelaki, 47, di Jalan Bertam Pertama, Kepala Batas.

Hasil pemeriksaan menemui satu guni berisi 10 bungkusan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 10.025 kilogram bernilai RM30,900.

Sumber berkata, suspek ditahan untuk siasatan sebelum polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Paya Keladi Masjid, Kepala Batas pada 12.30 tengah malam semalam.

Menurutnya, hasil serbuan menemui satu tong oren bertutup dan satu plastik oren mengandungi 55 bungkusan plastik lutsinar setiap satu berisi ganja dengan anggaran berat 10.006 kg.

Katanya, pihaknya juga menemui kotak kertas mengandungi 17 peket plastik lutsinar setiap satu berisi dadah heroin dan satu bekas polistrin mengandungi peket plastik lutsinar mengandungi tujuh peket plastik dengan setiap satu berisi syabu.

“Dalam serbuan kedua itu, polis menganggarkan dadah jenis ganja, heroin dan syabu yang dirampas bernilai RM143,046.

“Hasil soal siasat ke atas suspek juga, polis kemudian melakukan serbuan ketiga pada 7 pagi semalam di sebuah pondok berdekatan rumah itu.

"Hasilnya di bahagian bawah lantai pondok itu, polis menjumpai kotak kertas berisi tumbuhan kering disyaki ganja, 21 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat disyaki ganja dan dua guni dengan setiap satunya berisi 22 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat ganja.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui 10 lagi guni dengan setiap satu daripadanya berisi 44 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja," katanya.

Menurutnya, kesemua dadah yang ditemui di pondok itu dianggarkan seberat 520 kilogram dan bernilai RM1.6 juta.

Katanya, susulan rampasan itu, pihaknya percaya dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini dan sedang memburu saki baki ahli sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan dijangka mengadakan sidang media khas berhubung rampasan dadah itu, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 5:32 PM