HANISAH (dua dari kiri) menceritakan kejadian menimpa arwah anaknya ketika dikunjungi Noor Azman (dua dari kanan) di rumahnya di Kampung Charok Kapas, Kupang, Baling, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
news@nstp.com.my


TERGAMAK depa (mereka) tinggal mayat anak saya macam tu saja tanpa belas kasihan dan pulang ke rumah masing-masing macam tak ada apa berlaku."

Itu rintihan Hanisah Aziz, 48, ibu kepada Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, yang terbunuh akibat terkena tembakan senapang patah dilepaskan rakan sekampung ketika mereka keluar berburu, Ahad lalu.

Lebih menyayat hati, jenazah mangsa hanya ditemui empat hari kemudian selepas adiknya nekad masuk ke hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang-Gerik untuk mencari Mohamad Haniff.

Hanisah berkata, dia tidak dapat membayangkan betapa tergamak tiga rakan arwah anaknya merahsiakan kejadian itu sedangkan mereka tinggal berjiran.

Katanya, mujurlah jenazah anaknya tidak dibaham binatang buas biarpun dibiarkan di dalam hutan itu selama empat hari.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT mayat anak saya ditemui dalam keadaan baik dan sempurna.

“Apabila arwah tidak pulang selama empat hari, hati saya mula risau dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

"Hati seorang ibu hancur luluh apabila anaknya meninggal dalam keadaan seperti itu, namun saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa rohnya tenang di sana," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli di rumahnya di Kampung Charok Kapas, Kupang, Baling, hari ini.

Hanisah berkata, Mohamad Haniff adalah anak kelima daripada tujuh beradik dan selalu masuk ke hutan untuk memikat burung dan mencari ikan.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hafiz Ramdan, 28, berkata arwah masuk ke hutan itu bersama tiga rakan sekampung.

"Saya terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka rakannya sanggup tinggalkan arwah yang sudah tidak bernyawa.

"Perkara sudah berlaku...sepatutnya mereka pulang memaklumkan kepada polis atau penduduk mengenai kejadian itu," katanya.

Mohd Hafiz berkata, walaupun bersedih dengan kejadian itu, dia berjumpa dengan semua keluarga suspek apabila anak mereka ditahan polis untuk membantu siasatan.

"Saya sudah berjumpa bagi membincangkan apa yang berlaku kerana sudah ditakdirkan, lagipun keluarga suspek tinggal sekampung dan ada ibu mereka yang bersedih dan tidak menjamah makanan sejak berhari-hari.

"Perkara sudah terjadi, tetapi hubungan kami sebagai jiran tetangga tidak boleh terputus," katanya yang juga anggota tentera bertugas di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian Ahad lalu, Mohamad Haniff maut apabila terkena tembakan dari belakang kepala ketika aktiviti berburu.

Mayatnya hanya ditemui empat hari kemudian apabila salah seorang adiknya nekad mencari mangsa di dalam hutan itu selepas mangsa gagal pulang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dilaporkan berkata hasil soal siasat, salah seorang daripada tiga suspek mengaku melepaskan tembakan ke arah mangsa menggunakan senapang patah buatan sendiri kerana menyangka arwah adalah seekor kijang.

Susulan itu, polis menahan reman ketiga-tiga rakan mangsa berusia 20-an dan seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang memiliki lesen sah senjata api, kerana dipercayai membekalkan peluru kepada kumpulan itu.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Tiga ditahan tembak 'kijang''

'Adik suka pikat burung'

Jumpa mayat dalam hutan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 7:29 PM