Jokowi (kiri) menerima LP double vinyl Metallica dari Lars Rasmussen ketika kunjungan ke Istana Bogor pada 28 November tahun lalu. FOTO ANTARA/Rosa Panggabean
Agensi

KOLEKSI album edisi terhad (boxed set) kumpulan Metallica, Master of Puppets kini rasmi milik Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) selepas menebusnya daripada Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dengan nilai kira-kira 11 juta rupiah (RM3,200).

Album itu dihadiahkan Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen pada 28 November tahun lalu ketika lawatan ke Indonesia untuk Jokowi yang sememangnya terkenal peminat muzik metal.

Jokowi bagaimanapun menyerahkan hadiah terbabit kepada KPK yang mengisytiharkan album itu sebagai sebahagian daripada inventori negara pada 31 Januari lalu.

Susulan itu, Jokowi, 56, membayar kira-kira 11 juta rupiah (RM3,200) untuk menebus kembali album berkenaan.

Jurucakap KPK Febri Diyansyah memberitahu The Jakarta Post, tindakan Jokowi itu boleh dijadikan contoh kepada pegawai kerajaan lain apabila menerima hadiah daripada rakan sejawat asing.

“Ini bukan mengenai wang yang dibayar, tetapi kesedaran berterusan terhadap rasuah walaupun untuk perkara kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 6:24 PM