PENIAGA warga asing tawar harga lebih murah demi merebut pelanggan daripada peniaga tempatan. FOTO Saddam Yusoff
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mendaftarkan perniagaan menggunakan nama isteri, itulah taktik didakwa digunakan warga Pakistan dan Bangladesh yang mengusahakan kedai menjual telefon bimbit serta komputer di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini.

Menerusi ikatan perkahwinan, pasangan berkenaan secara automatik menjalankan perniagaan secara sah dengan isteri menjadi majikan manakala suami pula sebagai pekerja.

Selain taktik itu, ada dalam kalangan warga asing didakwa menggunakan konsep perkongsian dengan perniagaan didaftarkan atas nama warga tempatan, manakala keuntungan dibahagikan secara 60:40 peratus.

Difahamkan taktik berkenaan mula digunakan sejak lima tahun lalu dengan peniaga warga asing bebas menjalankan perniagaan di pusat jualan barangan elektronik dan gajet terbesar negara itu hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelancong asing. Tinjauan Harian Metro di pusat beli-belah itu mendapati, warga Pakistan dan Bangladesh turut menawarkan perkhidmatan membaiki telefon bimbit.

Melihat kepada situasi berkenaan, kemungkinan ada ratusan peniaga Pakistan dan Bangladesh menjalankan perniagaan di pusat beli-belah terbabit, malah jumlah itu dipercayai semakin meningkat.


PENIAGA warga asing mengusahakan kedai menjual telefon bimbit. FOTO Saddam Yusoff

Walaupun perniagaan dijalankan warga asing terbabit tidak mengganggu orang ramai namun jika dibiarkan dikhuatiri ia akan ‘membunuh’ peniaga tempatan dalam tempoh jangka panjang.

Antara yang terkesan adalah pengusaha kedai menjual barangan elektronik Azhim Rafli,32, kini bergelut untuk memastikan perniagaannya dapat bertahan berikutan jumlah pelanggan singgah ke premisnya semakin merosot.

“Saya memulakan perniagaan ini lima tahun lalu, tapi terpaksa bersaing dengan warga asing berkenaan dan kini mengharapkan pelanggan tetap semata-mata.

“Apa berlaku sekarang macam sudah tak boleh dihalang, seperti tidak ada kawalan oleh pihak berkenaan hingga peniaga warga asing bebas berniaga di pusat beli-belah ini,” katanya.

Sementara itu peniaga telefon bimbit hanya mahu dikenali sebagai Amri berusia 25 tahun berkata, peluang untuk peniaga Bumiputera bertahan di pusat beli-belah berkenaan kini tipis kerana kebanjiran peniaga warga asing.

“Timbul juga perasaan curiga macam ada komplot dalam kalangan mereka yang dilihat enggan bekerjasama dengan peniaga tempatan. Mereka juga guna pelbagai cara untuk mengelakkan perniagaan daripada diganggu pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 5:18 AM