Amir Abd Hamid
amir_hamid@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usia muda tidak menghalang seorang mekanik yang gemar membaiki kereta klasik terutama model Mini yang jauh lebih tua daripada usia dirinya.

Subandi Ana, 29, mengusahakan Wak Garage di Jalan Batu Muda Spring Crest di sini, iaitu bengkel pengkhususan kenderaan klasik yang mula memegang spanar membaiki kereta Mini sejak berusia 16 tahun.

Dia yang digelar Wak Mini berkata, kereta paling tua dibaikinya ialah Mark I Mini buatan 1960 iaitu antara model terawal legasi kenderaan klasik keluaran British Motor Corporation.

“Usia kereta itu 58 tahun, sekali ganda umur saya. Tetapi saya tak gentar, malah seronok dan teruja menyentuh dan menyelami enjin kereta legenda ini.

“Cara membaiki kereta klasik ini sama saja dengan kenderaan moden cuma kebanyakan mekanik takut dan tak yakin melakukannya.

“Enjin pun lebih kurang juga tiada perbezaan ketara. Ada alternator, ada distributor juga. Cuba teknik penetapan enjin ada kelainan sikit,” katanya.


QABIL Irfan mempamerkan aksi menunggang motosikal mini miliknya. FOTO Rozainah Zakaria

Menurutnya, kereta Mini pertama dibaiki adalah kereta sendiri yang dibeli pada usia 16 tahun dengan harga RM3,000 dan kekal miliknya hingga kini.

Dia meminati kereta Mini sejak mengikut bapa saudara yang turut mengusahakan bengkel membaiki kenderaan berkenaan.

“Wak memang sekolah tak tinggi. Wak ada sedikit simpanan ketika mula ikut bekerja dengan bapa saudara di bengkelnya.

“Sebahagian wang simpanan Wak dilaburkan untuk beli kereta Mini dengan harga RM3,000. Wak dapat saja kereta itu terus Wak bikin dan sehingga kini sudah habis RM25,000 untuk si biru (kereta Mini) itu,” katanya yang berkahwin pada usia 21 tahun.


SUBANDI mula membaiki enjin kereta Mini sejak berusia 16 tahun. FOTO Asyraf Hamzah

Menurutnya, dia pernah memiliki empat kereta Mini namun hanya kereta Mini pertamanya yang masih disimpan sebab terlalu sayang.

Dia yang berpengalaman menyelenggara lebih 300 kereta klasik itu berkata, pengalaman paling manis apabila kereta pelanggan yang dibaiki menaiki podium dalam perlumbaan kategori kenderaan berkenaan.

“Mengenai alat ganti, sebahagian barang boleh dapat dalam negara dan ada juga kena pesan dari luar negara khususnya United Kingdom (UK).

“Sekiranya barang enjin dari UK, paling cepat 10 hari, paling lambat dua minggu baru terima. Pemilik kereta Mini klasik faham mengenai perkara ini termasuk golongan muda yang biasanya cool. Walaupun muda dan menunggu lama tetapi hati mereka tenang dan klasik macam kereta juga,” katanya.


DERETAN kereta mini milik pelanggan di bengkel Subandi di Jalan Batu Muda Spring Crest. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 4:46 AM