KEADAAN bas selepas merempuh treler di Kilometer 400.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tanjung Malim. FOTO Ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: “Saya memeluk erat bayi di pangkuan dan tidak peduli tangan yang sakit akibat terhentak pada tempat duduk depan.

“Saya lihat suami dan dua anak berusia tiga serta lima tahun turut terjatuh di lantai bas termasuk penumpang lain,” kata Nor Jauna Jasuli, 30, menceritakan detik cemas kemalangan bas ekspres dinaikinya semalam.

Dalam kejadian jam 12.46 pagi itu, Nor Jauna antara 25 penumpang terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 400 Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur, dekat susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim, di sini.

Nor Jauna berkata, mereka bertolak dari Kamunting, Perak ke Johor Bahru, Johor, pada jam 9 malam sebelum kejadian berlaku.

Katanya, kebanyakan penumpang tidur, namun dia tidak dapat melelapkan mata dan menyedari bas dipandu laju.

“Saya menyedari beberapa kali pemandu menekan brek, tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan semua penumpang terjatuh dari tempat duduk.

“Bayi saya, Muhammad Noh Afiq Md Sarif yang berusia 11 bulan menangis sekuat hati.

“Memang trauma dan terkejut dengan kejadian. Sebelum ini hanya dengar berita kemalangan bas tapi kali ini saya sekeluarga melaluinya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


SEMUA penumpang turun dengan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. FOTO Ihsan bomba

Katanya, semua penumpang turun dengan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menaiki bas transit yang disediakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, kemalangan turut mengakibatkan empat penumpang berkenaan berusia 26 hingga 56 tahun cedera dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Tanjung Malim.

“Polis sudah menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu bas serta treler berkenaan dan keputusannya negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 6:56 AM