Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYAMPAI radio Fizi Ali, 29, dan pelakon Shakilla Khoriri, 29, selamat diijabkabulkan dengan dua kali lafaz, pada 10.38 pagi hari ini.

Dalam majlis berlangsung di Dewan Chersonese Media Hall, Maju Junction Mall itu, Fizi dinikahkan oleh bapa Shakilla, Mohd Khoriri Markon dengan mas kahwin RM300.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin menyerahkan lima dulang hantaran, manakala Shakilla atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri membalas dengan tujuh dulang hantaran.

Kedua-dua mereka, bagaimanapun merahsiakan nilai wang hantaran.

Fizi ketika ditemui meluahkan rasa syukur dengan kelancaran majlis berkenaan.


FIZI dan Shakilla merakamkan detik manis selepas diijabkabulkan, hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Rizman

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kami.

“Doakan kebahagiaan kami dan semoga ikatan perkahwinan ini kekal hingga ke jannah.” kata Fizi.

Majlis akad nikah turut disaksikan oleh 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan terdekat dan rakan-rakan media.

Fizi dan Shakilla mula mengenali satu sama lain pada 2012 ketika menjalani penggambaran Tuty Polkadot dan mengikat pertunangan pada 18 Julai tahun lalu.

Majlis resepsi kedua-dua belah pihak akan diadakan di lokasi majlis akad nikah berlangsung bermula 8 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 11:24 AM