Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my.

Semaju manapun negara, apabila berbicara mengenai hal berkaitan kebajikan, memang tiada berkesudahan.

Sebagai sebuah agensi yang begitu dekat dengan masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tentu sekali tidak terlepas daripada terpalit kritikan apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

Bersama Kafe Ahad minggu ini, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Mohd Fazari Mohd Saleh berbicara mengenai penderaan serta kelewatan saluran bantuan yang masih menjadi isu di Malaysia kepada wartawan MAHAIZURA ABD MALIK.


VISI JKM adalah sebagai peneraju utama perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat. Gambar kecil, Fazari Mohd Saleh. FOTO Ramdzan Masiam

Apakah visi dan penambahbaikan pihak tuan selaku Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat yang baru demi memartabatkan JKM dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada golongan sasar?

Mengapa JKM ditubuhkan kita perlu tahu adalah memberi kebajikan kepada masyarakat. Itu perkara asas perlu diberi keutamaan, kebajikan untuk keselesaan dan kesejahteraan masyarakat dan kumpulan sasar kita.

Jadi keutamaan kita ialah untuk memperkasakan masyarakat ke arah kesejahteraan sosial, kita mahukan JKM sesuai dengan visi sebagai peneraju utama perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.

Kita akan lakukan yang terbaik dengan pertingkatkan dan tambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa.

Kita sudah ada sasaran dan program sedang atau akan kita laksanakan menerusi Pelan Strategik JKM 2016-2020. 

Kita turut fokus memperkasakan golongan sasar seperti memantapkan pusat aktiviti warga emas, program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), program kanak-kanak dan sebagainya.

Seterusnya kita tidak boleh bertindak dan bergerak sendirian kena pegang konsep kebajikan adalah tanggungjawab semua.

Sebab itu kalau kita hendak mantapkan program dan mahu perkhidmatan kita lebih berkesan, meluas dan menyeluruh kita kena mantapkan kolaborasi dengan semua pihak. 

Sebagai orang lama yang berpengalaman dalam JKM, boleh tuan kongsikan cabaran JKM dahulu dan sekarang macam mana?

JKM sudah berusia 72 tahun. Pada mulanya ditubuhkan sejak 1946 bagi menangani isu mangsa selepas perang. Masa itu lebih kepada aspek perlindungan dan penjagaan saja.

Tetapi dari semasa ke semasa perkhidmatan kita berkembang bukan setakat memberi perlindungan dan bantuan orang susah, tetapi kepada program pembangunan dengan beri jalan macam mana mereka boleh berdikari dengan menjana pendapatan sendiri.

Ini ada dalam Program 2 Years Exit yang sudah bermula sejak 2014. Objektifnya bangunkan mereka bukan setakat menerima bantuan daripada kita saja, tetapi boleh menyumbang kepada masyarakat semula. Tahun lalu kita ada lebih 1,500 peserta yang terlibat.

Kita beri geran perniagaan untuk berniaga kecil-kecilan akhirnya mereka berjaya sebagai usahawan dan dapat hidup berdikari. Mereka juga membantu klien (penerima) bantuan JKM lain dengan mengambil golongan kurang upaya (OKU) sebagai pekerja mereka.

Jadi dengan perluasan perkhidmatan kita, peranan juga semakin mencabar bukan setakat membantu, tetapi memulih, membangun dan integrasikan mereka dalam masyarakat.

Contohnya kes di institusi kita bukan setakat beri penjagaan dan perlindungan selepas mereka terbabit jenayah dan sebagainya, tetapi akhirnya kita mahu mereka ada kemahiran dan menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diperolehi dalam mencari pekerjaan apabila keluar ke pangkuan masyarakat.

Bercakap mengenai isu bantuan, JKM sering dipersalahkan sekiranya ada kes terlepas pandang. Ada juga kata JKM lambat dalam meluluskan proses permohonan bantuan. Komen tuan?

Mungkin adalah dekat situ kita terlepas pandang, tetapi bukanlah maksudnya apabila terima aduan, kita melambat-lambatkan proses itu. Tengoklah dalam satu-satu masa ada 500,000 penerima bantuan perlu diuruskan di samping pemohon baru yang perlu diproses jadi pasti ada sedikit kelewatan.

Kita memang menghadapi kekangan seperti kekurangan kakitangan. Di peringkat daerah kita cuma ada 2,000 orang saja pembantu kebajikan masyarakat yang menguruskan kes bantuan.

Secara puratanya dalam satu-satu masa, 250 kes ada di tangan mereka di samping kes baru yang datang memerlukan mereka membuat siasatan dan lawatan ke rumah untuk menentu dan mempertimbangkan sama ada pemohon itu layak atau tidak terima bantuan.

Kadang-kadang bukan mereka sengaja mahu melewatkan proses itu, tetapi terpaksa memberikan keutamaan kepada perkara lain contohnya menguruskan bantuan mangsa banjir.

Jadi inilah masyarakat perlu fahami bukan kami sengaja melewatkan proses pemohon bantuan. Memang dari semasa ke semasa kita juga membuat program Kembara Kebajikan 1Malaysia untuk mencari dan membantu mengenal pasti golongan memerlukan bantuan di samping itu mereka yang datang sendiri ke pejabat memohon dan kita memang sebolehnya akan bantu mereka dan proses permohonan seberapa segera.

Kita sudah bergerak bermula sejak 2014 bukan menunggu permohonan bantuan datang kepada kita saja. Kita turun padang membabitkan semua pihak pergi ke rumah klien memerlukan bantuan, mana-mana rumah perlu dibersihkan kita buat kerja gotong-royong membabitkan sukarelawan.

Mungkin ini hanya kes terpencil saja, kadang-kadang memang kita akui juga, tetapi kena faham kekangan kita. Siapa yang bersama kami barulah akan nampak macam mana kakitangan kami bertugas siang dan malam.

Kadang-kadang orang nampak JKM ini hanya kendalikan kes bantuan saja sedangkan kes keganasan rumah tangga pun kita kendalikan, penderaan kanak-kanak, masalah akhlak, warga emas dan OKU kita juga ke depan membantu.

Boleh terangkan prosedur permohonan bantuan JKM?

Biasanya pemohon atau perujuk boleh merujuk ke pejabat JKM, kita akan melihat syarat kelayakan. Setiap syarat berbeza mengikut skim bantuan ditawarkan. Sesetengah kes tidak perlu surat sokongan pemimpin setempat.

Biasanya, pegawai akan pergi mengadakan lawatan ke rumah pemohon melihat keadaan serta keperluan kes bagi menyokong permohonan. Proses ini memakan masa dua minggu untuk selesai siasatan dan biasanya dalam tempoh sebulan saja kita akan tahu sama ada pemohon itu layak atau tidak menerima bantuan.

Kita juga sekarang sedang buat projek perintis di dua negeri di Kuala Lumpur dan Selangor untuk permohonan bantuan secara dalam talian. Sekiranya kita nampak boleh memberikan manfaat dan sesuai kita akan perluaskan ke seluruh negara. Pemohon boleh pergi ke laman sesawang JKM untuk mengetahui maklumat langkah mengisi borang permohonan bantuan dalam talian.

Menyentuh isu mengenai penderaan bayi dan kanak-kanak di negara ini. Adakah kes yang kerap berulang ini menunjukkan kita masih gagal membela nasib golongan ini?

Kes penderaan satu fenomena sosial yang berlaku dalam masyarakat kita. Perbalahan dan krisis dalam keluarga itu sendiri faktor utama menyebabkan berlakunya penderaan ini. Berdasarkan statistik, kebanyakan kes penderaan adalah disebabkan perbalahan keluarga. Keduanya, masalah kewangan juga menjadi punca tekanan dalam hidup dan menjadikan anak sebagai mangsa.

Selain itu, tekanan tempat kerja juga dibawa ke rumah hingga melepaskan kepada anak. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa. Ibu bapa harus mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah bagi melindungi anak mereka.

Begitu juga dengan penderaan seksual dan sumbang mahram walaupun mungkin kurang dilaporkan buktinya terdapat mangsa daripada kanak-kanak dan OKU ditempatkan di pusat perlindungan. Komen tuan?

Pihak kami memandang serius isu sumbang mahram yang dikategorikan juga dalam penderaan seksual. Di samping faktor tadi, tahap keimanan seseorang yang agak rendah juga menyebabkan mereka tidak boleh mengawal nafsu akhirnya melepaskan kepada anak-anak sendiri.

Keduanya, keadaan ruang rumah yang sempit mendedahkan perlakuan sedemikian. Sebab itu pentingnya pengasingan antara anak lelaki dan perempuan seawal usia.

Selain itu, pengaruh pornografi dan akses Internet yang mudah menjadi satu bentuk ancaman anak-anak kita hari ini terpengaruh dengan budaya negatif. Jadi ibu bapa perlu ada kawalan dan sekatan dalam hal ini.

Berdasarkan situasi semasa, seberapa serius kes seumpama ini mengancam anak-anak kita di Malaysia?

Perkara ini bukan baru berlaku, cuma sekarang pengaruh media massa dan sosial menjadikan laporan itu semakin bertambah.

Daripada statistik, memang kita tengok ada trend peningkatan kes penderaan setiap tahun sejak dilaporkan 2010. Setakat September tahun lalu, 3,751 mangsa dilaporkan dan jumlah ini mungkin bertambah untuk Disember.

Tetapi kita boleh juga melihat perkara ini dari sudut pandangan positif bahawa ini menunjukkan keprihatinan dan kepekaan masyarakat sudah mula sedar melaporkan kejadian hingga menyebabkan statistik meningkat. Berbanding dahulu, kini saluran membuat aduan juga lebih mudah, malah kita terima apa saja laporan sama ada melalui WhatsApp mahupun media sosial. Semua kes kendalian JKM, kita akan buat siasatan.

Adakah akta sedia ada ini masih tidak cukup untuk menakutkan orang kita daripada menganiaya golongan kanak-kanak ini?

Dari segi perundangan saya rasa sudah mencukupi. Contohnya Akta Kanak-Kanak 2001 kita pun baru semak semula dan diluluskan pindaannya kepada Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 dengan hukuman lebih berat.

Seksyen 31 dalam akta ini memperuntukkan sekiranya melakukan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 (dipinda dari RM20,000) atau penjara tidak melebihi 20 tahun (dipinda dari 10 tahun) atau kedua-duanya.

Ada elemen baru juga dimasukkan dengan tambahan menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat.

Itu semua sudah mencukupi apa yang penting kita tidak boleh mengharapkan segala-gala isu sosial ini melalui perundangan saja. Penting juga kesedaran semua pihak dan ambil ini sebagai tanggungjawab bersama.

Sering kali kita melihat kebanyakan kes apa saja bentuk penderaan kepada golongan ini membabitkan keluarga yang berpecah-belah dan bercerai-berai. Jadi wajarkah JKM memantau anak-anak yang di bawah jagaan pasangan bercerai selagi usia mereka belum mencapai 18 tahun?

Bagi kes kanak-kanak perlukan pemeliharaan dan perlindungan, memang kita ada intervensi dengan mereka. Contohnya kalau dia terabai atau terbiar, memang kita buat intervensi dengan kanak-kanak itu dan keluarganya melalui perlindungan, kaunseling atau sebagainya.

Di peringkat daerah kita juga ada pegawai kaunselor yang boleh membantu keluarga ini sama ada melaksanakan kaunseling individu, kelompok atau keluarga. Jadi mekanisme ini memang sudah ada untuk menjamin keselesaan dan keselamatan kanak-kanak di Malaysia.

Secara keseluruhannya apakah mekanisme sesuai menjamin keselamatan kanak-kanak kita dan mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti kes penderaan?

Di peringkat jabatan memang kita sediakan satu program khusus iaitu Kempen Sahabat Bijak untuk memberikan kesedaran kepada kanak-kanak mengenai keselamatan dan hak kalau berlaku sesuatu kepada mereka. Program ini dijalankan di seluruh negara dengan kerjasama banyak pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan, pemimpin setempat, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar sekolah.

Kempen ini satu bentuk advokasi dan literasi undang-undang secara bergerak dari sekolah ke sekolah dan turut dijalankan di peringkat komuniti. Konteks kempen keselamatan ini meliputi usaha untuk mencegah, mengelak atau membanteras kanak-kanak dari menjadi mangsa kegiatan jenayah seperti penderaan dan eksploitasi dari aspek fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 6:11 AM