SITI Saleha.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Selepas sedekad bergelar pelakon, Siti Saleha kini berada dalam kelompok artis popular tanah air.

Bukan saja bersandarkan paras rupa jelita kacukan Melayu-Inggeris, Saleha juga berbakat besar dan mampu pergi lebih jauh dalam bidang lakonan.

Antara drama lakonannya yang memberi impak ialah 7 Hari Mencintaiku dan filem Cinta Paling Agung yang sudah ditayangkan sebelum ini.

Sekian lama berlakon, Siti Saleha Mohd Baharum, 27, mengakui sampai masanya dia lebih memilih watak yang ditawarkan.

“Sebenarnya, sejak dulu saya memang sudah memilih watak tetapi kadang-kadang ia tidak dapat dielakkan apabila digandingkan dengan ‘pelakon kayu’ dalam drama.

“Namun, kini saya akan pastikan watak yang ditawarkan memang ada kelainan kerana tidak mahu penonton bosan apabila disajikan dengan watak sama saja.

“Bukan saja watak, saya juga ingin bekerja dengan penerbit dan pengarah muda berbakat besar sekali gus membantu meningkatkan lagi prestasi lakonan saya,” katanya.

Terbaru, Saleha terbabit dengan projek telefilem seram berjudul Hamba Iblis untuk saluran Astro Citra.

Dalam telefilem arahan Razaisyam itu, Saleha berganding dengan Namron dan Amerul Affendi selaku teraju utama.

“Sebenarnya, saya sudah lama tidak membawa watak berat dalam cerita genre seram.

“Sebab saya agak memilih dari segi naskhah kerana mahukan skrip yang lebih realistik. Saya terima tawaran ini kerana skripnya yang bagus dan plot juga menarik,” katanya.

Walaupun bergelar pelakon berpengalaman, Saleha tetap berdepan cabaran besar ketika penggambaran telefilem terbabit.

“Ia memang memenatkan dan mencabar fizikal kerana wataknya sangat berat.

“Antaranya ada babak saya dirasuk dan banyak bermain dengan emosi dalaman.

“Saya harap peminat tidak akan lepaskan peluang untuk menonton telefilem itu apabila ditayangkan nanti sekali gus dapat mengubat kerinduan peminat pada lakonan terbaru saya,” katanya.


SITI Saleha.

Saleha juga masih menanti tawaran berlakon dalam projek drama bersiri ketika ini.

“Kali terakhir, saya berlakon menerusi drama bersiri Mandatori yang diadaptasi daripada karya Ramlee Awang Murshid untuk saluran Astro First.

“Ia sudah bersiaran mulai 14 Disember tahun lalu. Saya juga berharap ada tawaran untuk projek drama bersiri yang bagus pada tahun ini,” katanya.

Belum rezeki dapat anak

Hampir tujuh bulan berumah tangga, Saleha juga tidak dapat mengelak daripada ditanya soal anak sekali gus melengkapkan kebahagian sedia ada.

Malah, ada pihak yang mendakwa dia memperlahankan aktiviti seninya selepas berkahwin untuk mendapatkan cahaya mata.

“Saya juga ingin menafikan cerita yang mendakwa saya hamil ketika ini. Cerita yang tersebar itu tidak betul kerana saya belum mengandung lagi.

“Selain di rumah, masa saya juga banyak dihabiskan di lokasi penggambaran ketika ini,” katanya.

Saleha berkata, dia dan suami tidak pernah merancang dan hanya menyerahkan kepada ketentuan Tuhan.

“Insya-Allah, jika ada rezeki dapat anak sekarang, pasti kami akan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Saleha dan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 31, mendirikan rumah tangga di TPC Bukit Kiara pada 28 Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:08 AM