Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


ANGGOTA tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, atas pertuduhan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah, 9, pada 31 Januari lalu.

Tertuduh Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.


Anggota tentera, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, atas pertuduhan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Vista Jaya, Lukut, pada 31 Januari lalu. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 34 tahun yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk antara punca kematian kanak-kanak perempuan itu yang dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya sebelum polis menahan kedua-duanya pada 1 Februari lalu.

Siasatan forensik di rumah mereka keesokannya membawa kepada penemuan kerusi plastik dan tali pinggang yang dipercayai digunakan tertuduh untuk mendera mangsa selain turut merampas air jampi.

Lebih menyedihkan apabila Nur Aina turut dipercayai diseksa seperti rekrut komando dengan dipaksa melakukan tekan tubi, ‘sit up’ dan ketuk ketampi selain dipukul, ditendang dan dipijak oleh bapa kandungnya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Leher Nur Aina pun digigit [METROTV]

Abang Aina pun kena dera

Abang Aina tukar sekolah

Aina murid yang pintar

[UPDATE[ Sungguh berat 'ujian' Nur Aina

[UPDATE] Bukan sebab air jampi

Air jampi untuk Aina

'Nur Aina, kau sentiasa dirindui...'

'Aina takut dengan bapanya'

[UPDATE] Anggota tentera, isteri direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:26 AM