NABILA Razali. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kira-kira empat tahun lalu, bakat dimiliki wanita jelita ini pernah dipertikaikan.

Kehadirannya dalam program Akademi Fantasia 2013 berulang kali dikritik seolah-olah tiada tempat untuk dia memahat nama dalam industri muzik tempatan.

Walaupun dikecam dan dilabel sebagai penyanyi yang menjual rupa semata-mata, Nabila Razali sedikit pun tidak ambil peduli, malah dia tetap berjuang mencari jalan terbaik hingga memastikan bakatnya dihargai.

Tanpa disedari, wanita kecil molek ini sudah memasang strategi dan bersiap sedia menggegar industri muzik apabila kejayaan diraih menerusi single kedua, Pematah Hati.

Ia berjaya meledakkan namanya di arena muzik tanah air, seterusnya memberikan ruang buat Nabila bangkit kembali.

“Dalam tempoh empat tahun itu, saya banyak menghabiskan masa dengan mempersiapkan diri. Masa saya banyak dihabiskan dengan menyertai kelas vokal dan mencari identiti diri.

“Walaupun laluan kerjaya sepi berbanding finalis AF 2013, saya tidak pernah berhenti mencari buah tangan terbaik buat pendengar. Bagi saya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan rezeki tidak datang tanpa usaha yang keras.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah menyangka dengan apa yang saya kecapi ini. Namun, simbahan cahaya yang diterima ini masih baru dan saya akan terus berusaha untuk kekal relevan dalam industri muzik,” katanya.

Walaupun Pematah Hati mencipta fenomena luar biasa apabila sudah ditonton lebih 17 juta kali di YouTube, Nabila terpaksa akur apabila ada yang kurang senang cara nyanyiannya dengan mengatakan dia tidak mampu menyanyi ‘live’.

Bagaimanapun, setiap tanggapan negatif netizen tidak sesekali melemahkan dirinya, sebaliknya menjadikan penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun ini lebih kuat untuk terus berusaha membina empayarnya dalam dua cabang seni.

“Tahun 2018 adalah langkah yang baik bagi saya meneruskan pencapaian Pematah Hati, untuk terus dikenali. Semestinya saya akan buat sehabis baik dalam nyanyian dan takkan berhenti setakat ini saja. Saya tidak mahu dipandang sebagai penyanyi ‘one hit wonder’.

“Saya akui vokal saya tidak sehebat penyanyi lain dan terima setiap teguran yang membina. Saya ambil ia sebagai satu cabaran untuk terus memperbaiki diri supaya tidak berasa diri berada di zon selesa

“Jujur saya katakan dalam persembahan berskala besar, saya sendiri masih berasa gugup. Bagaimanapun, dalam setiap persembahan, saya sedaya upaya cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Tak sombong, masih sama seperti dulu

Ketika jadual kerjanya padat dengan undangan nyanyian dan sesi penggambaran, timbul dakwaan mengatakan Nabila kini mula bersikap sombong.

Perkara itu tercetus selepas ada pihak yang juga orang dalam industri hiburan mendakwa Nabila seolah-olah sudah lupa diri.

Sungguhpun begitu, bagi pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali ini, dia tidak melenting apabila mendengar perkhabaran itu.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan barangkali ada tindak-tanduk dirinya yang terlepas pandang sehingga membuatkan ada pihak terasa hati.

“Saya sendiri terkejut apabila mendengar cerita seperti itu. Saya pun tidak tahu ada pihak yang berkecil hati dengan saya. Sehingga kini, saya masih lagi sama seperti mula-mula menjadi penyanyi dulu.

“Cuma mungkin ada yang terasa hati dengan diri ini tanpa saya sedar. Saya tidak pernah ada niat nak membuatkan mana-mana pihak terguris atau mahu bersikap sombong seperti cerita yang baru saya dengar ini. Jika ada yang berkecil hati, saya memohon maaf,” katanya.

Menurut Nabila, sehingga kini hubungannya dengan orang sekeliling masih tetap terjaga. Cuma, ada masa tertentu dia tidak dapat memenuhi permintaan semua orang atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Memang agak susah kita nak jaga hati semua pihak. Bagaimanapun, saya sentiasa menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling. Kawan lama pun masih berhubung. Saya memang ada kelompok kawan tertentu yang memang rapat.

“Mungkin panggilan telefon atau mesej yang masuk saya tidak dapat respons secara terus, tetapi biasanya akan dijawab selepas selesai semua kerja. Saya tidak pernah lupa diri, lagipun masih baru dalam bidang ini,” katanya.

Tangguh cinta

Pernah dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan beberapa selebriti tempatan, Nabila tenang menepis setiap gosip yang datang dan menjelaskan hubungan mereka sedar kawan.

“Buat masa ini, saya tak fokus kepada percintaan, sebaliknya memberikan tumpuan penuh pada nyanyian dan promosi lagu Pematah Hati.

“Saya nak bina empayar dan tiada masa untuk bercinta. Namun pintu hati saya sentiasa terbuka untuk mencari seorang lelaki yang mampu menjaganya dengan baik,” katanya yang bakal mendendangkan lagu berjudul Cahaya Juara untuk runut bunyi filem biografi Datuk Lee Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 7:01 AM