Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


EMPAT beradik dipercayai menjadi mangsa dera apabila dipukul bapa tiri mereka menggunakan rotan di Gong Badak, Kuala Nerus.

Kejadian menimpa empat beradik berusia antara lima hingga sembilan tahun itu terbongkar selepas ibu mereka menceritakan perbuatan suspek kepada abangnya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, bapa saudara kepada empat mangsa yang terkejut mendengar cerita itu segera ke rumah adiknya untuk melihat keadaan anak-anak saudaranya.

Katanya, sebaik tiba di rumah adiknya, tiga daripada empat mangsa berada di sekolah menyebabkan lelaki terbabit segera ke sekolah bersama anak saudaranya yang berusia lima tahun untuk melihat keadaan anaknya.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam dan parut pada badan empat anak saudaranya dipercayai akibat dipukul menggunakan rotan.

"Empat beradik itu dibawa ke hospital untuk rawatan dengan kesan lebam dan parut kebanyakannya pada bahagian punggung dan kaki.

"Suspek berusia 37 tahun kerap memukul empat beradik masing-masing dua lelaki dan dua perempuan dipercayai akibat masalah rumah tangga antara suspek dan ibu kepada empat beradik terbabit," katanya.

Idris berkata, suspek dikatakan menjadi empat beradik itu sebagai tempat melepaskan geram apabila bergaduh dengan isterinya dan wanita terbabit memaklumkan anak-anaknya dipukul menggunakan rotan dua minggu lalu namun tidak membuat laporan kerana takut selain susah untuk keluar dari rumah.

Katanya, selain dipukul menggunakan rotan, suspek turut memukul mangsa menggunakan selipar, tangan dan kaki.

Laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 2:52 PM