BCL banyak bertanya rakan senegara strategi tempa nama di sini.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Sedar tak sedar, sudah 10 tahun pelakon dan penyanyi, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL bergelar isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair.

Dalam tempoh itu juga, dia semakin arif mengenai Malaysia dan tahun ini berazam mengukuhkan kariernya di sini.

“Memandangkan ada permintaan, saya berbesar hati untuk mengukuhkan kerjaya di Malaysia.

“Semuanya perlukan perancangan teliti kerana ia bukan perkara kecil. Kuala Lumpur umpana rumah kedua saya memandangkan kami sekeluarga ada kediaman di sini,” katanya.

Kata BCL, setiap kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, dia tidak pernah rasa terasing sebaliknya seperti pulang ke rumah.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi pengkritik dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) dan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

“Memang memenatkan tapi saya rasa puas dan gembira kerana habis kerja di MLM, dapat pulang ke rumah di ibu kota serta berehat,” katanya.

BCL juga berkata, sekiranya jumlah peminatnya bertambah, tentunya dia akan lebih bersemangat untuk bekerja keras.

Ditanya barangkali terselit rasa cemburu melihat kejayaan rakan senegaranya seperti Datuk Rossa, Afgan dan Krisdayanti yang sering mengadakan konsert di sini, BCL berkata tidak sama sekali.

“Tak pernah timbul rasa cemburu. Kami semua berkawan baik dan saling bertukar ilmu. Saya banyak bertanya kepada mereka mengenai strategi menempa nama di Malaysia.

“Bukan kami saja, malah pihak pengurusan saya dan mereka juga saling berhubung untuk mencari strategi terbaik,” katanya.

Bercerita mengenai keluarga, BCL berkata perjalanan sedekad bersama suami penuh dengan cabaran.

“Ia perjalanan yang indah. Tentunya ada naik dan turun tetapi kami harungi dengan sabar dan gembira,” katanya.

Kata BCL, dia bahagia dikurniakan suami yang bertanggungjawab dan berjiwa penyayang.

“Bahagia melihat keluarga kami berkembang. Ashraf adalah suami dan bapa yang bertanggungjawab.

“Dia juga bijak menguruskan anak. Bukan itu saja, dia juga sentiasa ada dan tak pernah mengabaikan keperluan anak kami,” katanya.

Hasil perkahwinannya dengan Ashraf, mereka dikurniakan seorang zuriat, Noah Sinclair yang kini berusia lapan tahun.

“Noah makin besar. Dia sudah pandai minta adik,” kata BCL seraya ketawa bahagia.

Terbaru, penyanyi lagu Cinta Sejati itu sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di pentas BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert yang bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 April ini.

“Saya akan menyanyikan sembilan hingga 11 lagu. Saya sangat teruja berkongsi pentas dengan dua penyanyi hebat iaitu Anuar Zain dan Yuka.

“Sebelum ini, saya sudah biasa mengadakan konsert di negara sendiri. Di Malaysia, ini yang pertama dan saya akan buat sehabis baik,” katanya.

Menjanjikan konsert yang akan sentiasa diingati, BCL memaklumkan ada kejutan serta kelainan dari segi susunan muzik dalam lagu yang dipersembahkan.

Tiket konsert trio itu boleh dibeli di laman web www.yuka.com.my dan www.tickethotline.com.my.

Beberapa jenis tiket dengan harga berbeza ditawarkan kepada penonton iaitu Intimate (RM2,199), Platinum (RM1,599), Diamond (RM588), Gold (RM488), Silver (RM388), Bronze (RM288) dan Regular (RM188).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 4:23 AM