Mohd Armi mengajar bahasa isyarat kepada orang ramai di Tasik Titiwangsa.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Beramal sambil berkongsi ilmu bahasa isyarat. Itu niat murni pereka laman sesawang perniagaan, Mohd Armi Rusli, 35, yang menganjurkan kelas bahasa isyarat percuma sejak lebih lima tahun lalu sebagai hobinya.

Mohd Armi yang mengalami masalah kurang pendengaran sejak lahir berkata, kebanyakan orang normal sukar mendapat peluang belajar bahasa isyarat kerana kelas berkenaan terhad kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

“Di Malaysia, tidak semua orang tahu bahasa isyarat, kadang-kadang ramai berminat tetapi tidak tahu hendak belajar di mana berbanding OKU cacat pendengaran dan bisu apabila kebanyakan mereka mendapat pendedahan di sekolah pendidikan khas serta institusi atau persatuan yang menyediakan kelas khusus untuk memudahkan mereka berinteraksi.

“Bagi saya, orang normal juga perlu belajar asas bahasa isyarat bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan golongan OKU.

“Dalam sesetengah kes pekak teruk, ada juga yang memakai alat pendengaran tidak dapat mendengar. Justeru, pentingnya mempelajari bahasa isyarat ini,” katanya, semalam.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia mengenali dan mempelajari bahasa isyarat ketika bertugas di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dari 2010 hingga 2013.

“Dari kecil sampai tingkatan enam, saya tidak pernah pakai alat pendengaran kerana harganya mahal.

“Orang bercakap dengan saya secara kuat atau menjerit sebab saya masih ada sedikit deria mendengar.

“Namun ketika belajar di universiti, saya sedar kepentingan memakai alat itu dan ketika menjalani latihan industri di MFD selama sebulan, baru saya tahu rupa-rupanya wujud bahasa isyarat ini untuk golongan seperti saya,” katanya.

Menurutnya, peluang diterima bekerja sebagai Penyelaras Kursus Bahasa Isyarat MFD dimanfaatkan sebaiknya dan dia serius mempelajari bahasa isyarat itu secara mendalam.

“Saya benar-benar mahir dalam bahasa ini selepas mempelajarinya hampir dua tahun setengah. Bahasa ini tidak mudah dipelajari, sebab itu ia perlu ada minat dan diamalkan setiap hari.

“Selain itu, ini cara supaya saya tidak lupa apa yang dipelajari apabila menurunkan ilmu kepada orang lain secara percuma,” katanya.

Katanya, dia menganjurkan kelas percuma sekurang-kurangnya sebulan sekali pada hujung minggu kepada komuniti, institusi pengajian tinggi dan organisasi berminat dengan cara mengiklankan hebahan itu di Facebook miliknya, Malaysian Sign Language–Bahasa Isyarat Malaysia.

“Biasanya saya ajar mereka asas bahasa isyarat selama satu hingga dua jam bagi satu sesi secara berkumpulan.

“Dari situ, saya menerima permintaan mengajar dari rumah ke rumah bagi individu normal yang mahu mempelajari ilmu ini secara mendalam termasuk doktor, guru mahupun ibu bapa yang ada anak dalam kategori masalah ini.

“Bagi kelas rumah ke rumah, biasanya saya mengenakan caj bagi tujuh kali sesi pembelajaran termasuk caj pengangkutan ke tempat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:19 AM