AHLI keluarga Fatimah menulis sambil menjadikan pelita untuk mendapatkan cahaya. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Berang: “Bukan tidak mampu tetapi akibat tiada bekalan elektrik, kami tidak boleh menggunakan pelbagai peralatan elektrik untuk kemudahan harian seperti keluarga lain,” kata Fatimah Che Nawan, 43, dari Kampung Jerlan di sini.

Menurutnya, penggunaan telefon bimbit juga terpaksa dihadkan kerana perlu ke rumah sewa kakaknya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya untuk mengcasnya sekiranya kehabisan bateri.

Katanya, dia bersama tiga adik-beradiknya membina rumah di kebun sawit berhampiran rumah ayahnya, Che Nawan Abdullah, 64, yang juga kawasan tempatnya dibesarkan sebelum ini.

“Selain rumah nenek dan ayah di kawasan itu, terdapat tiga lagi rumah termasuk kediaman sendiri kerana dengan pendapatan sebagai penoreh getah, tidak mampu membeli tanah lain selain ia sudah sebati dengan kehidupan.

“Akibat rumah yang terletak satu kilometer ke dalam kawasan kebun sawit, ia menyukarkan sambungan bekalan elektrik dan kemudahan jalan kerana jarak tiang elektrik terakhir dua kilometer dari rumah walaupun tanah kebun milik ayah hanya bersebelahan jalan besar.


FATIMAH bersama ahli keluarganya. FOTO Nazdy Harun

“Terdapat lima rumah di dalam kebun sawit milik ayah ini tetapi hanya empat yang berpenghuni berikutan nenek sudah meninggal dunia. Sejak tahun lalu saya jarang pulang kerana menyewa rumah di Kampung Tok Randok berikutan saya baru selesai menjalani pembedahan.

“Saya mengalami ketumbuhan pada belakang leher, atas punggung dan membuang hempedu selain perlu menjalani rawatan susulan. Saya juga tidak boleh berjalan atau menaiki motosikal melalui jalan kebun sawit,” katanya.

Menurutnya, keluarganya dan adik-beradik yang lain bukan tidak mampu membeli peralatan elektrik untuk kegunaan harian tetapi tiada bekalan utiliti membataskan mereka.

Keluarganya pernah menggunakan generator untuk televisyen tetapi kosnya pula tinggi selain penyelenggaraan alat itu mahal sekiranya rosak.

Fatimah berkata, pernah beberapa unit generator yang digunakan sebelum ini rosak lantas adiknya hanya menggunakan pelita untuk menyinari suasana malam di rumah mereka.


PERIGI sumber air keluarga. FOTO Nazdy Harun

“Hampir 30 sanak-saudara saya tinggal di kawasan ini dan sebolehnya saya berharap kerajaan membina jalan untuk kami masuk ke kawasan rumah.

“Saya juga sangat berharap mendapat kemudahan infrastruktur kerana keadaan diri yang tidak sihat serta terpaksa menyewa rumah lain turut menambah beban saya sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ghazali Taib berkata, masalah itu berada dalam pengetahuan pihaknya. Langkah yang akan diambil dalam masa terdekat adalah dengan membina laluan ke kawasan terbabit.

“Masyarakat perlu mengetahui status tanah untuk pembinaan rumah dan tanah pertanian selain prosedur yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan kemudahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:26 AM