KEDIAMAN mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah di Taman Villa Jaya, Port Dickson. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


“Pada malam itu, dia datang mengaji al-Quran di rumah saya seperti biasa bersama abangnya selepas solat Maghrib."

Demikian kata warga emas yang mahu dikenali Siti, 66, menceritakan mengenai Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya, kelmarin.

Siti yang juga guru mengaji kepada mangsa berkata, dia sempat menatap jenazah arwah buat kali terakhir sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kepayang, Ipoh, Perak.

"Pada malam kejadian, arwah nampak lain dan lebih banyak diam.

"Apabila ditanya, Aina hanya tunduk dan memberitahu tiada apa-apa berlaku. Saya hanya mengetahui Aina meninggal dunia selepas diberitahu jiran, keesokan pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Vista Jaya di sini, hari ini.

Katanya, dia terkejut dengan berita kematian itu dan tidak menyangka mangsa menanggung penderitaan didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya, sejak sekian lama.

Menurut Siti, sebelum ini dia pernah melihat kesan lebam pada wajah mangsa ketika datang mengaji al-Quran, namun apabila ditanya mangsa memberitahu kecederaan itu akibat terjatuh.

"Arwah sangat baik dan pernah mengikut saya ke masjid berhampiran kawasan perumahan ini jika ada aktiviti keagamaan selain pandai mengaji dan solat sunat.

"Sepanjang mengenalinya, arwah memang takut dengan bapanya yang dipanggil Baba. Arwah akan segera pulang ke rumah apabila dipanggil," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Mohamad Hapil ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengambil hak penjagaan sementara anak lelaki suspek yang juga abang mangsa, sebaliknya berada di bawah penjagaan ahli keluarga lain di Perak.

Berita berkaitan

Tergamaknya ayah...

'Aku boleh mati kena bunuh'

[UPDATE] Anggota tentera, isteri direman [METROTV]

Ya Allah, besarnya penderitaan Nur Aina... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 6:02 PM