Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


HANYA kerana lewat memberi makanan kepada anak, lelaki tergamak menumbuk muka isterinya hingga lebam ketika pasangan itu bertengkar dalam kereta di Kota Marudu, kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 pagi, mangsa berusia 32 tahun bersama suaminya dalam perjalanan pulang dari mengambil anak mereka di sekolah di daerah ini.

Menurut sumber, sebelum itu suspek yang bekerja sebagai anggota penyelamat di Kota Kinabalu memarahi isterinya kerana lambat menyediakan makanan kepada anak bongsu mereka.

"Ketika itu, mangsa dikatakan sibuk melayan pelanggan yang membeli barangan di kedai runcit milik ibunya di bahagian luar rumah.

“Akibat berang, suspek kemudian mengemas pakaiannya dan anak-anak serta memberitahu isterinya mahu membawa anak mereka pulang ke Papar," katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian mengejar suaminya yang ketika itu sedang menyusun beg pakaian di dalam kereta sehingga berlaku pertengkaran.

"Pasangan itu kemudian pergi mengambil anak mereka dari sekolah. Susulan pertengkaran itu, ketika dalam perjalanan pulang, suspek menumbuk bahagian muka isterinya sehingga lebam.

"Berikutan itu, kira-kira 4 petang pada hari sama, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Polis kini sedang mengesan suspek berkenaan dan dia dipercayai tidak tinggal di daerah ini," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:28 PM