ZAIDA bersama anak murid di Baitul Ummah Rohingya Children Learning School, Taman Peringgit Jaya. FOTO Rasul Azli Samad
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

Melaka: Kesengsaraan etnik Rohingya mendorong pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berketurunan etnik itu Zaida Amir Hussin, 24, memilih untuk berkhidmat sebagai guru di Baitul Ummah Rohingya Children Learning School, Taman Peringgit Jaya di sini, sejak tiga bulan lalu.

Gadis lepasan Yangon University of Economic, Myanmar itu juga tidak berkira mengenai elaun bulanan diterima meskipun memiliki ijazah kerana niatnya adalah mahu membantu kanak-kanak Rohingya membaca, menulis dan mengira.

Anak kelima daripada 10 orang adik-beradik itu berhijrah ke Melaka sejak Jun tahun lalu dan tinggal di negeri ini bersama ibu bapa dan saudara-mara lain yang menetap di Malaysia sejak 25 tahun lalu.

Katanya, sekolah terletak di aras dua rumah kedai dua tingkat itu hanya mempunyai dua guru dan diuruskan komuniti Rohingya di Melaka dengan bantuan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


ZAIDA mengajar subjek bahasa Inggeris kepada anak muridnya. FOTO Rasul Azli Samad

“Kerana kekurangan guru saya ditugaskan mengajar subjek sains, matematik dan inggeris. Buku rujukan dan latihan menggunakan penerbitan dijual di negara ini.

“Meskipun elaun diterima tidak seberapa, saya rasa puas membantu anak-anak Rohingya mengenal abjad dan nombor, malah lebih membanggakan ada dalam kalangan mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun tidak berapa lancar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zaida berkata, dia memberi penekanan kepada subjek bahasa Inggeris kerana ia bahasa antarabangsa dan paling banyak dituturkan penduduk dunia, selain bahasa Mandarin.

Menceritakan pengalamannya Zaida berkata, rutinnya sama seperti guru di sekolah rendah lain, malah dia juga terpaksa bersabar melayan pelbagai kerenah anak muridnya.


MURID memberikan fokus ketika sesi pembelajaran. FOTO Rasul Azli Samad

Sementara itu, rakan senegaranya Ahsanul haq Abdul Motin Omar, 25, juga lepasan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Arakan ditugaskan mengajar subjek agama, membaca al-Quran dan adab.

“Saya mahu kongsi ilmu dengan semua orang Rohingya, pelajaran boleh membantu mengubah nasib etnik kami dan saya bangga kalau anak murid dapat lanjutkan pengajian ke universiti suatu hari nanti.

“Antara kekangan utama kami di sekolah ini ialah kekurangan bahan rujukan, jadi saya berhubung dengan rakan di seluruh dunia membuka kelas seperti ini.

“Ada bahan rujukan dibawa masuk rakan kami berhijrah yang ke negara ini. Sekarang kami hanya ajar asas kerana tiada silibus khusus atau teratur seperti digunakan di sekolah di Malaysia,” katanya.

Ahsanul berkata, pihak madrasah menyediakan pendidikan seimbang antara akademik dan agama, kelas bermula jam 8 pagi dan tamat jam 2 petang namun setiap murid diwajibkan menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum pulang.

Dia memberitahu setakat ini madrasah itu mempunyai 48 murid lelaki dan perempuan, jumlah itu dijangka bertambah dalam masa terdekat kerana ramai ibu bapa dalam kalangan etnik Rohingya mula sedar mengenai pendidikan untuk kanak-kanak.


AHSANUL mengajar subjek agama termasuk al-Quran dan adab. FOTO Rasul Azli Samad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 6:00 AM