HALIMAH isi masa lapang dengan berniaga nasi lemak berharga 50 sen sebungkus. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Alor Gajah: “Kalau tak jual nasi lemak, apa lagi nak dibuat, nenek orang kampung, duduk saja di rumah pun tak senang,” kata Halimah Hassan, 76, warga emas yang tular di laman sosial Facebook (FB) kerana menjual nasi lemak berharga 50 sen sebungkus di Kampung Pegoh Dalam di sini.

Halimah berkata, dia berniaga nasi lemak bungkus di depan rumahnya sejak 1997, bermula dengan niat membantu arwah suami selain mengisi masa terluang sebagai suri rumah sepenuh masa.

Katanya, sebelum ini dia menjual kuih tradisional, namun dihentikan kerana kurang mendapat sambutan dan hanya memberikan tumpuan kepada nasi lemak bungkus yang dialas menggunakan daun pisang.

Warga emas itu memberitahu, sebahagian besar pelanggannya adalah orang luar atau pelancong yang tertarik untuk menikmati makanan kampung dimasaknya, selain harganya yang murah.

PERKONGSIAN pelanggan Halimah yang tular di laman sosial. FOTO Ihsan pembaca.

“Sekarang nenek tinggal bersama anak lelaki di rumah dibina anak perempuan yang bekerja di Kuala Lumpur. Setiap kali pulang ke kampung anak perempuan suruh nenek berhenti berniaga, tapi kalau duduk saja di rumah pun bosan.

“Meskipun usia sudah lanjut nenek tak boleh duduk diam di rumah, jadi nenek buat macam-macam aktiviti termasuk memotong rumput,” katanya di rumahnya, semalam.

Katanya, dia bangun seawal jam 4 pagi setiap hari untuk memasak nasi lemak yang dibungkus selepas selesai solat Subuh, manakala sambal ikan bilis disiapkan lebih awal iaitu pada jam 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:50 AM