MOHAMAD Hafiz mengurut badan pelanggan di rumahnya di Kampung Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Tumpat: Walaupun tidak dapat melihat, sentuhan magis tukang urut orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mampu melegakan sakit urat pelanggannya.

Tukang urut berkenaan, Mohamad Hafiz Ab Rahman, 28, yang cacat penglihatan sejak lahir berkata, mengurut satu-satunya pekerjaan yang dilakukan sejak lapan tahun lalu.

Katanya, selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Khas Vokasional (SMVK) Indahpura, Kulai, Johor, dia membabitkan diri secara serius dalam bidang urutan.

“Hanya ini (mengurut) kemahiran yang ada dan ia adalah sumber pendapatan utama, jadi saya gunakan sebaik mungkin.

“Sebaik menjejakkan kaki ke SMVK pada 2008, saya berazam mahu menjadi seorang yang boleh berdikari walaupun buta dan pekak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geting, di sini.

Anak kedua daripada lima beradik berkata, walaupun tidak dapat melihat, dia memilih merantau ke Batu Pahat, Johor untuk bekerja.

Dia yang juga pelajar terbaik dalam bidang refleksologi berkata, sudah lapan tahun dia mengurut dan sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan untuk mendapatkan khidmatnya.


MOHAMAD Hafiz mengurut kaki pelanggan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Bukan tidak mahu mencari rezeki di negeri sendiri, tetapi saya sudah biasa di Johor malah majikan, Azlan Foot Reflex yang membuka peluang kepada saya untuk mencapai cita-cita sendiri.

“Setiap perkhidmatan dikenakan bayaran berbeza mengikut permintaan iaitu untuk urutan badan selama dua jam RM50, manakala urutan kaki RM15 untuk 45 minit.

“Sehari saya dapat dua atau tiga pelanggan, manakala pada hari minggu ia meningkat sekali ganda dan maksimum saya boleh mengurut lima orang sehari,” katanya.

Ayahnya, Ab Rahman Ahmad, 54, ada memintanya pulang mencari rezeki di Kelantan, tetapi dia belum bersedia dan hanya mengurut ketika pulang bercuti.

Sementara itu, Ab Rahman berkata, selain Mohamad Hafiz, abangnya Azizi, 29, juga boleh mengurut dan sama seperti adiknya itu, buta dan pekak.

“Namun abangnya tidak dapat bertahan lama kerana sentiasa sawan dan kini, hanya Mohamad Hafiz yang dapat meneruskan kerjaya itu.

“Sebagai bapa, saya bangga kerana anak yang tidak dapat melihat mampu mencari rezeki sendiri, malah digemari pelanggannya,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 4:52 AM