INCUBUS
MichelleGun
michellegun@hmetro.com.my


Selepas tujuh tahun tidak bertemu peminat di Malaysia, kumpulan rock Amerika Syarikat, Incubus teruja kembali ke Kuala Lumpur bagi memperkenalkan album baru mereka pada 13Februari ini.

Kumpulan dianggotai Brandon Boyd selaku vokalis, Mike Einziger (gitar), Jose Pasillas (dram),Ben Kenney (bas)dan Chris Kilmore (keyboard) itu dijangka menghiburkan penonton dengan 20 lagu.

Ketika dihubungi kelmarin, Kilmore berkongsi inspirasi menghasilkan album yang diberi judul 8 dan kolaborasi Incubus bersama produser Skrillex memberi sentuhan segar kepada album itu.

Menurut pemain keyboard itu, lagu untuk album 8 mula ditulis pada 2015 ketika Amerika Syarikat hangat dengan pelbagai isu politik.

“Kami bukan kumpulan yang gemar mengaitkan diri dengan politik. Namun, banyak isu termasuk hal politik negara berlaku pada tahun itu yang menjadi inspirasi kepada kami untuk menulis lagu,” katanya.

Jelasnya, kumpulan berkenaan juga melalui beberapa perubahan mencabar sebelum memulakan pembikinan album terbabit.


INCUBUS

“Perjalanan itu kami sampaikan dalam lagu yang dihasilkan. Saya percaya, muzik dapat menyatukan orang ramai.

“Saya boleh katakan perubahan ini membuatkan Incubus sudah berevolusi, sekali gus memberi cabaran kepada kami untuk menghasilkan karya baru,” katanya.

Rakaman album 8 mengambil masa lebih setahun sebelum dilancarkan pada April lalu.

Namun menghampiri penghujung rakaman mereka, Skrillex pada saat akhir diminta menerbitkan semula dan mix lagu untuk album berkenaan.

Bagaimanapun, ada segelintir pendengar meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan sentuhan Skrillex di media sosial.

Pun begitu, Kilmore memuji bakat produser itu dan berpendapat Skrillex sudah beri yang terbaik untuk album Incubus.

“Saya dan anggota Incubus sudah lama mengenali Skrillex. Tidak dinafikan dia pemuzik hebat dan bijak.

“Kami sangat bertuah Skrillex dapat membantu menghasilkan muzik menakjubkan untuk album ini,” katanya.

Incubus peminat kucing

Sementara itu, Kilmore turut menjelaskan konsep di sebalik muzik video Nimble Bastard yang memaparkan sekumpulan anjing peliharaan cuba menyerang anggota Incubus.

Video muzik itu ditonton lebih 634,000 kali di YouTube dan memaparkan mereka menumpaskan percubaan anjing terbabit dengan bertukar menjadi kucing.

“Lirik lagu ini ditulis Brandon. Idea datang ketika mencari ilham menghasilkan muzik video untuk Nimble Bastard.

“Selalunya, artis mengetengahkan muzik video yang serius dan kami mahu memaparkan kelainan,” katanya.


ANGGOTA Incubus menjadi kucing dalam muzik video Nimble Bastard.

Ujar Kilmore lagi, kumpulan ditubuhkan pada 1991 itu jenis yang santai dan suka berseronok.

“Kami bukan kumpulan yang serius, jadi video klip ini memaparkan kami berseronok. Tambahan pula, kami adalah pencinta haiwan,” katanya.

Menurut Kilmore, setiap anggota Incubus kecuali Mike memelihara kucing dan Jose sendiri mempunyai lapan ekor kucing.

“Saya ada seekor kucing. Jose bela kucing paling banyak. Selain kucing, kami juga pelihara anjing,” katanya.

Berkongsi perkembangan Incubus sepanjang tahun ini, Kilmore berkata, mereka sibuk dengan jelajah konsert yang akan diadakan di beberapa negara.

“Selepas selesai konsert jelajah, kami akan meneruskan persembahan di pesta muzik.

“Pada masa sama, kami mungkin akan mula menulis lagu baru untuk album seterusnya,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, pemuzik itu berkata, anggota kumpulan berkenaan berpeluang berehat panjang sewaktu membuat rakaman album.

“Kami hanya ada empat hingga lima jam sehari untuk rakam lagu. Selepas itu, kami dapat luangkan masa dengan keluarga dan aktiviti masing-masing,” katanya.

Konsert Incubus akan berlangsung pada 13 Februari ini, jam 8 malam di KL Live, Live Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:50 AM