NAZRIEF Nazri. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro.com.my.

Tiada siapa mahu kisah peribadinya menjadi tatapan umum. Begitu juga segelintir selebriti yang lebih selesa berkongsi cerita mengenai kerjaya dengan peminat.

Mana tidaknya,menyingkap kembali kehidupan peribadi adakalanya situasi itu mengundang rasa kurang selesa.Jika tersilap langkah, ia mungkin boleh mengundang kontroversi sehingga menjadi bualan netizen.

Bagi pelakon Nazrief Nazri, dia sedar apabila terjun dalam bidang seni inilah harga yang perlu dibayar.

“Tidak dinafikan apabila dikenali, banyak mata akan memerhatikan kita.

“Tidak kisahlah buat baik atau sebaliknya, ia pasti akan dinilai masyarakat.

“Namun, itulah yang kita perlu hadam apabila bergelar anak seni.

Apatah lagi dengan adanya media sosial, semuanya di hujung jari. Jadi, kenalah lebih berhati-hati,” katanya.

Menurut Nazrief, pada awal pembabitan dalam bidang seni, kisah peribadinya pernah dijaja sehingga dia dikecam teruk netizen.


NAZRIEF Nazri. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

“Dulu pernah timbul isu saya memperagakan seluar dalam.

“Sebenarnya, sebelum masuk industri seni, saya sudah menjangkakan perkara ini akan dibangkitkan. Apa pun, saya anggap ini dugaan dan asam garam apabila bergelar artis.

“Lagipun, saya tidak melakukan sebarang jenayah pun. Ketika itu saya bergelar model tetapi mungkin caranya tidak betul. Apa pun, itulah yang pertama dan terakhir kerana tersepit dalam keadaan,” katanya.

Walaupun pedih untuk ditelan, dia berfikiran positif dan mencari jalan terbaik untuk memulihkan kembali keadaan.

“Kita tidak boleh ego. Kalau salah mengaku saja dan mohon maaf.

“Namun jika perkara yang dibangkitkan itu fitnah, saya akan pertahankan diri. Seandainya masih berterusan, saya ambil pendekatan berdiam diri bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin keruh. Lagipun, diam tidak bermaksud kita kalah,” katanya.

Siapa sangka, pelakon yang terkenal menerusi drama Bilo Nogori Jupe Kelate itu kini bersih daripada sebarang gosip.

“Syukur, tiada lagi kisah kurang menyenangkan. Mungkin kerana saya bukan budak nakal.

“Pengalaman lalu banyak mengajar saya supaya berhati-hati sebelum melakukan sesuatu,” katanya yang kini terikat dengan penggambaran drama Makmum Yang Paling Aku Cinta bersama pelakon Bella Dally.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:37 AM