Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TIGA individu termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, hari ini, kerana dipercayai terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek berusia 60 tahun itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS Perlis kepada kontraktor yang dilantik sejak 2014 hingga 2017.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM adalah dua pemilik syarikat berusia 39 dan 50 tahun masing-masing dipercayai bersubahat dengan pengarah terbabit.

Menurut sumber, pasukan penyiasat mendapati pengarah berkenaan juga menggunakan nama sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan untuk melaksanakan projek yang dianugerahkan oleh JPS.

“Dia juga didapati menjalani kehidupan yang mewah hasil daripada wang rasuah yang diterima daripada kontraktor sejak 2014.

"Siasatan juga mendapati suspek memindahkan sejumlah wang rasuah yang diperolehi dengan menyalahgunakan jawatannya itu ke beberapa akaun miliknya dan saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, SPRM merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah salah seorang pemilik syarikat yang ditahan.

Sumber berkata, pasukan penyiasat menyita empat akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM2.9 juta yang dipercayai diperolehi melalui perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan dimulakan selepas SPRM menerima menerima laporan berhubung perbuatan pengarah terbabit.

"Ketiga-tiga suspek dijangka dihadapkan di mahkamah Alor Setar esok untuk direman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 6:38 PM