Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan berusia tiga tahun luka di tangan dipercayai akibat dirotan guru taska di Taman Limdungan Bercham Indah, Ipoh, Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis 10 pagi semalam selepas tidak berpuas hati dengan alasan diberikan pihak taska yang mendakwa anaknya luka akibat menggaru tangan sendiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada suri rumah berusia 45 tahun itu yang mendakwa anaknya dirotan hingga luka.

“Ibu kanak-kanak terbabit mengatakan menghantar anaknya yang berusia tiga tahun ke taska berkenaan dalam keadaan baik, 7.45 pagi Rabu lalu dan anaknya dihantar pulang kira-kira 6 petang menaiki van.

“Wanita berkenaan kemudian mendapati tangan kanan anaknya ada kesan luka dan dimaklumkan oleh guru taska yang anaknya garu tangan sebelum disapu dengan krim luka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, wanita terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan guru taska berkenaan dan berjumpa dengan pengurusan taska sebelum membawa anaknya ke klinik.

Katanya, suri rumah berkenaan membawa anaknya itu ke dua lagi klinik untuk pemeriksaan pada Khamis dan Jumaat lalu dan di beritahu oleh doktor yang luka di tangan anaknya itu adalah kesan lecur.

“Doktor juga memaklumkan luka kanak-kanak terbabit sudah dijangkiti kuman dan suri rumah itu kemudian membuat laporan polis semalam.

“Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan pemilik dan penyelia taska, ketika pertemuan di antara kanak-kanak itu bersama ibunya dengan pihak pengurusan, guru taska wanita berusia 32 tahun mengaku merotan mangsa di tangan kanan,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika pertemuan itu kanak-kanak terbabit turut menunjukkan guru yang merotannya.

“Pemilik taska memaklumkan guru berkenaan sudah diberhentikan kerja kerana bimbang kejadian yang sama akan berulang lagi.

“Guru wanita itu juga dikatakan sudah mengakui kesalahannya dan meminta maaf kepada ibu kanak-kanak berkenaan, namun suri rumah terbabit mahukan tindakan diambil terhadap guru taskaberkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen bersesuaian dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 12:22 PM