PARIMALA dan Maniam menunjukkan gambar serta laporan polis kehilangan cucunya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Kulai : “Kami tidak mahu dia ditimpa nasib sama seperti abangnya dan berharap dapat mengesannya secepat mungkin,” kata S Parimala, 53, yang bimbangkan nasib cucu perempuannya, Diana Varshini, 1, yang juga adik kepada mangsa dera kekasih ibunya yang meninggal dunia pada 2 Januari lalu.

Parimala berkata, dia dan suaminya, S Maniam, 65, khuatir keselamatan Diana Varshini yang gagal dikesan sejak awal bulan ini selepas diambil menantunya pada Disember lalu.

Menurutnya, Diana Varshini adalah adik J Paul Ebineshen, 3, yang meninggal dunia pada 2 Januari lalu akibat menjadi mangsa penderaan.

Katanya, sebelum ini, dia dan suaminya pernah menyuarakan hasrat menjaga Diana dan Paul kerana bapa mereka menjalani hukuman penjara di Kluang.

“Kami mahu menjaga mereka dengan niat meringankan beban menantu berusia 18 tahun.

“Bagaimanapun pada pertengahan Disember lalu, kami hanya dibenarkan membawa Diana dengan alasan keluarga menantu mahu menjaga Paul.

“Pada 28 Disember lalu, menantu tampil menuntut Diana dan kami terpaksa menyerahkannya kerana dia menyatakan hasrat untuk menjaga anaknya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Kenanga, Indahpura, di sini, semalam.

Parimala berkata, dia terkilan dengan kejadian menimpa Paul dan berharap pelakunya yang dihadapkan ke mahkamah pada 18 Januari lalu mendapat hukuman setimpal.

Akhbar ini melaporkan seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, awal bulan ini.

S Mosas, 24, mengangguk kepala tanda faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohammad Salehuddin Abd Sani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mosas didakwa menyebabkan kematian Paul di laluan Jalan Perak 1 dan rumah Flat Temenggong, di sini, antara jam 5.30 petang hingga 7 malam, 3 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ibu mangsa dan neneknya, 56, ditahan pada hari kejadian di hospital itu untuk membantu siasatan.

Tertuduh yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa pula ditahan dua hari kemudian selepas disyaki mendera mangsa sehingga menyebabkan kematiannya.

Ibu dan nenek mangsa yang ditahan reman 14 hari kemudian dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan.

Parimala berkata, dia lebih bimbangkan nasib Diana kerana menantunya pernah menyatakan hasrat menyerahkannya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun tidak memberi sebarang maklumat tepat.

“Bagi tujuan keselamatan, kami membuat laporan di Balai Polis Kulai pada 9 Januari lalu selain turut menyalurkan maklumat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Diana menghubungi kami di talian 016-5194322 atau 017-7865404,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Kulai Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, pihaknya masih berusaha mengesan bayi terbabit.

Beliau berkata, siasatan dijalankan pihaknya juga mendapati NGO yang dimaksudkan tidak memberi perlindungan kepada kanak-kanak itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang maklumat berkaitan kanak-kanak berkenaan. Siasatan juga mendapati kelahiran kanak-kanak berkenaan masih belum didaftarkan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan daripada nenek Diana dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:38 AM