Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Kehebatan filem OlaBola yang ditayangkan pada tahun 2016 tidak perlu dipertikaikan lagi. Meraih kutipan pecah panggung RM15.9 juta, ia menarik perhatian Enfiniti (M) Sdn Bhd untuk mengangkat naskhah itu ke pentas teater.

Bakal dipentaskan bermula 8 Februari sehingga 11 Mac depan, ini adalah teater pertama paling lama diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di mana sebanyak 35 persembahan akan dipentaskan kepada penonton.

Teater OlaBola masih mengekalkan jalan cerita sama, bezanya ia menerapkan elemen nyanyian dan tarian.

Malah, penggunaan skrin LED di kiri dan kanan panggung membawa penonton merasai sendiri pengalaman seperti berada di padang Stadium Negara.

Menyatukan kembali beberapa pelakon asal filem itu, OlaBola the Musical mengekalkan Luqman Hafidz sebagai Ali dan Lim Jian Wen (Ah Chai).

Dua lagi watak utamanya ialah pendatang baru, namun masing-masing ada pengalaman dalam bidang teater iaitu Brian Chan dan Kai Chalmers.

Bertemu empat jejaka ini, masing-masing berkongsi rasa teruja dapat bersatu dalam sebuah pementasan mega.

Dalam pada itu, Pengasas Kumpulan Enfiniti dan Pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina turut teruja apabila syarikat swasta seperti CIMB sudi bekerjasama menjadi penaja utama untuk teater yang bakal menjadi pembuka acara pertama siapnya pentas IB.

Menariknya, pengguna kad CIMB layak mendapat diskaun potongan 40 peratus untuk semua jenis pembelian tiket.

Luqman Hafidz raih pengalaman baru

Pertama kali menjejakkan kaki ke pentas teater, Luqman, 27, akui teruja dan pada masa sama gementar.

Walaupun penat kerana perlu berlatih setiap hari, ia pengalaman baru dan berharga buat jejaka ini.

“Sangat banyak perbezaan di antara filem dan teater. Walaupun watak saya masih sama dengan filem, dalam teater ini saya perlu menyanyi dan menari.

“Ia adalah pengalaman baru yang belum pernah saya lakukan lagi. Bertemu dengan semua pelakon setiap hari dan mengadakan latihan satu perkara menggembirakan saya.

“Apatah lagi setiap tenaga pengajar ada peranan masing-masing dan mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan ini membuatkan saya rasa sedikit lega,” katanya.

Luqman berkata, dia tidak serik jika ditawarkan berlakon teater lagi pada masa akan datang namun mahukan watak yang bersesuaian dengan jiwanya.

“Saya tidak menolak jika ada tawaran lagi. Cuma, harapnya biarlah watak yang diberikan itu tidak terlalu berat untuk dibawa,” katanya.


LUQMAN. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Lim Jian Wen teruja dan gembira

Sama seperti Luqman, Jian Wen, 25, juga teruja dapat beraksi di pentas teater. Baginya Luqman adalah pembakar semangat untuk terbabit dalam teater OlaBola the Musical ini.

“Saya tidak pandai menyanyi dan menari. Pada mulanya saya tidak terfikir untuk menghadiri uji bakat kerana tidak yakin.

“Luqman banyak memberikan kata-kata semangat dan suruh saya cuba. Tidak sangka saya terpilih menjadi salah seorang pelakon teater ini,” katanya.

Jian Wen berkata, dia yakin mendapat tawaran itu bukan kerana pernah menjayakan filem OlaBola tetapi kerana minta dan semangatnya untuk menyertai produksi terbabit.

“Ia ibarat bulan jatuh ke riba. Bukan mudah beraksi di atas pentas kerana filem jika salah boleh ulang semula tetapi tidak teater.

“Jika melakukan kesalahan, persembahan tetap perlu diteruskan. Lebih mencabar apabila perlu menyanyi sambil menari kerana saya tiada pengalaman,” katanya.


LIM Jian Wen. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Kai perlu kuasai Bahasa Malaysia

Pernah terbabit dalam pementasan MUD the Musical tahun lalu, Kai Chalmers, 24, tidak kekok beraksi di pentas teater.

Pun begitu, bagi jejaka kacukan Cina-Inggeris itu setiap kali terbabit dengan teater ia adalah pengalaman dan pelajaran baru buat dirinya.

“Saya sudah biasa berlakon teater, namun yang berbeza adalah watak. Dalam teater MUD saya menjadi diri sendiri iaitu pelancong l yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Untuk OlaBola saya menjadi sebahagian daripada pemain bola sepak. Walaupun ada pengalaman berlakon teater, cabarannya tetap ada, apatah lagi saya perlu fasih bercakap Bahasa Malaysia untuk naskhah ini.

“Saya baru dua tahun menetap di Malaysia dan sedang dalam proses menguasai Bahasa Malaysia. Mujur kawan banyak membantu,” katanya.


KAI Chalmers. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Brian mahu berlakon filem

Mengikuti pengajian dalam jurusan seni teater di Kolej Sunway, Selangor, Brian, 24, sudah tiga tahun mencanai bakat di pentas teater.

Jika sebelum ini dia lebih terdedah dengan pementasan yang memaparkan kisah cinta, kali ini wataknya jauh berbeza.

“Watak kali ini lebih kepada semangat kesukanan dan setia kawan. Satu pengalaman baru dan pastinya saya teruja.

“Apatah lagi ia adalah teater besar pertama saya. Walaupun penat kerana perlu berlatih setiap hari, saya tidak kisah kerana suka mendalami bidang ini. Bagi saya lebih banyak latihan lebih bagus kerana ia akan buat kita semakin yakin beraksi di atas pentas nanti,” katanya bersemangat.


BRIAN. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 2:09 AM