Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


BERADA di dalam bilik air berjam-jam, melakukan sesuatu perkara berulang-ulang dan mengelak untuk berjabat tangan, memegang tombol pintu, butang lif atau meja makan.

Itu antara simptom yang sukar ditinggalkan oleh penghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) sehingga ada antara mereka diberhentikan kerja, hampir dibuang daripada institusi pengajian tinggi (IPT) selain bergaduh dengan ahli keluarga.

Penghidap OCD suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna selain sentiasa merasa resah, tertekan dan cemas.

Kerani yang mahu dikenali sebagai Linda, 32, berkata, dia mula mengalami ketidakcelaruan perasaan dan kerap berfikiran negatif sejak remaja sehingga menyebabkan dia kerap melakukan sesuatu kitaran yang tidak berakhir.

Katanya, sikapnya yang 'pantang' dengan kekotoran dan tidak boleh mengawal kerisauan menyebabkan dia sering ditertawakan oleh rakan serta ditegur keluarga.

"Dalam keluarga, hanya saya seorang saja yang begini (menghidap OCD). Saya akui sikap ini mengganggu rutin harian saya, keluarga dan rakan-rakan tetapi saya tidak boleh buang perasaan itu.

"Sudah lima kali saya bertukar tempat kerja, dua daripadanya diberhentikan sebab saya terlalu banyak menghabiskan masa di bilik air untuk mencuci tangan dan muka serta membuat panggilan kepada orang yang sama berulang kali.


Penghidap OCD kerap melakukan sesuatu perkara berulang-ulang seperti membasuh tangan. FOTO Shahrul Redzuan, Mohamad Allyme dan Saiful Iskandar

"Kerisauan itu sentiasa ada, kadang-kadang pegang pen atau pensel pun saya rasa mahu basuh tangan sebab merasakan ada kuman yang akan memudaratkan diri," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah berpatah balik dari Kuala Lumpur ke Melaka dengan menaiki kereta hanya kerana risaukan tingkap rumahnya belum ditutup rapat.

Penghidap OCD, Muhammad Idham Mohd Rashidi, 25, berkata, dia bercelaru apabila berada di dalam bilik air kerana terlalu memikirkan persekitarannya dipenuhi dengan najis.

"Dalam kepala akan fikir semua yang ada dalam bilik air itu kotor, tambahan pula keadaan bilik air itu basah. Saya rasa seperti percikan air ketika membersihkan najis itu terkena pada semua tempat.

"Contohnya hos pada paip di bilik air yang berada di lantai atau berdekatan mangkuk tandas, saya akan basuh menggunakan sabun sampai puas hati.

"Dan saya sendiri akan membersihkan diri dalam waktu yang agak lama dalam bilik air kerana saya sukar merasakan diri saya bersih selepas membuang air," katanya ketika ditemui.

Menurutnya yang bekerja sendiri, dia sangat teliti dalam melakukan sesuatu perkara supaya dihabiskan dengan sempurna contohnya menutup paip air dengan ketat sehingga tiada titisan air yang keluar.

"Saya pernah patahkan paip plastik kerana mahu pastikan paip itu ditutup dengan rapat. Begitu juga ketika mengambil wuduk, selain mengambil masa yang lama, saya akan pastikan semua paip di kawasan itu ditutup rapat," katanya.


Penghidap OCD juga obses dengan susun atur dan struktur. FOTO Shahrul Redzuan, Mohamad Allyme dan Saiful Iskandar

Sementara itu, Aktivis Sokongan Pesakit Mental, Syazwan Jaafar, berkata, setiap manusia mempunyai tahap kebersihan dan kerisauan sendiri namun bagi pesakit OCD ia tidak boleh dikawal dan melampau.

Katanya, pesakit OCD mempunyai simptom yang terbahagi kepada empat kategori iaitu kebersihan, keselamatan, kepercayaan (spiritual) dan susun atur (struktur) yang mana terdapat pesakit yang memiliki lebih daripada dua kategori berkenaan.

"Kebanyakan pesakit OCD ini obses dengan aspek kebersihan dan keselamatan. Kaedah rawatan yang saya dan kumpulan saya terapkan adalah menggabungkan beberapa kaedah.

"Kaedah pertama ialah menggunakan cara Islam iaitu hadis dan sunnah (rukyah) dengan membacakan kalimah suci ke air minuman untuk memulihkan pesakit daripada bisikan was-was daripada syaitan.

"Keduanya kami sarankan pesakit untuk merujuk pakar psikiatrik atau psikologi," katanya yang juga Imam Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut.

Menurut penceramah bebas itu, kumpulannya aktif mengadakan seminar dan program kaunseling yang mendapat kerjasama pusat rawatan Darussyifa' dan doktor pakar sebagai saluran pesakit OCD menjalani terapi dan latihan pemikiran.

Bekas Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria berkata, pesakit OCD mempunyai peluang untuk mengurangkan penderitaan dengan diberi rawatan melalui kombinasi ubatan serta kaunseling atau psikoterapi.

“Memang ada ubatan yang diberi sama jenis dengan disediakan untuk penghidap masalah mental, namun tujuannya berbeza. Bagi penghidap masalah mental, ubatan itu untuk mengurangkan kemurungan tapi bagi penderita OCD, ia bagi membantu mengurangkan kerisauan.

“Bagi psikoterapi, kami menyediakan rawatan dikenali sebagai terapi perlakuan kognitif. Ubatan serta terapi ini boleh diperoleh di hospital atau klinik dan ia diberikan oleh pakar psikiatri serta psikologi klinikal,” katanya.

Menurutnya, rawatan bagi penderita OCD juga perlu mengambil kira semua perkara seperti biologikal, psikologikal serta persekitaran sosial individu berkenaan.

Kata Dr Hazli, meskipun kebanyakan penderita OCD ini tahu mereka bermasalah, namun enggan mendapatkan rawatan awal kerana bimbang dilabel sebagai pesakit mental.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 9:44 PM