SITI Saleha. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Hampir enam bulan berumah tangga, Siti Saleha mengakui hidupnya tidak lagi sunyi seperti zaman solo dulu.

Menurut pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum, 27, ini, sekarang dia sudah ada teman iaitu suami untuk menemaninya di rumah.

“Selepas berkahwin, saya sudah ada tanggungjawab baru sebagai isteri. Namun, hidup saya juga tidak banyak berubah selepas bergelar isteri,” katanya.

Saleha berkata, dia bertuah kerana suami sangat memahami dirinya yang sangat berdikari sejak dulu.

“Suami juga merestui minat saya dalam bidang lakonan. Walaupun sudah berkahwin, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya dengan suami kerana saya memang suka bekerja dan menyara diri sendiri.

“Malah, ramai teman rapat yang tidak percaya yang saya sudah berkahwin kerana diri ini masih sama seperti dulu,” katanya.

Saleha dan pasangannya, Ahmad Lutfi Azhar, 31, mendirikan rumah tangga di TPC Bukit Kiara pada 28 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Saleha, suaminya juga tidak meletakkan sebarang syarat dalam lakonan selepas berkahwin.

“Semuanya terpulang pada saya kerana suami sentiasa menyokong minat dalam lakonan. Sebagai isteri, saya juga perlu bijak memilih watak mengikut kesesuaian.

“Kalau ada babak yang saya tidak suka, masih boleh berbincang dengan pengarah,” katanya.

Ditanya soal anak pula, kata Saleha, dia dan suami tidak pernah merancang dan hanya menyerahkan kepada ketentuan Tuhan.

“Kami memang ada berbincang soal anak tetapi semuanya bergantung pada rezeki. Jika ada rezeki dapat anak cepat, pasti kami akan menerimanya dengan gembira,” katanya.

Memilih dalam lakonan

Pelakon yang dikenali menerusi drama 7 Hari Mencintaiku dan telefilem Cinta Paling Agung ini mengakui rindu untuk kembali berlakon projek drama bersiri pada tahun ini.

“Saya masih menanti tawaran untuk projek drama bersiri yang bagus. Saya memang memilih dari segi watak, pengarah dan gandingan hero untuk menjaga kualiti dalam lakonan.

“Maklumlah, saya pernah ada pengalaman bekerja dengan ‘pelakon kayu’ dan seolah-olah saya hanya berlakon seorang diri sebelum ini,” katanya.

Saleha berkata, bukan saja watak yang ada kelainan, dia juga ingin bekerja dengan penerbit dan pengarah baru yang berbakat besar.

“Saya juga akan terbabit dengan projek telefilem minggu depan. Pada masa sama, saya juga mendapat tawaran berlakon projek cerita seram dan komedi pada tahun ini,” katanya.

Kali terakhir Saleha berlakon menerusi drama bersiri Mandatori yang diadaptasi daripada karya Ramlee Awang Murshid dan sudah bersiaran di saluran Astro First Eksklusif, mulai 14 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 2:16 AM