Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


Gadis yang ditemui meninggal dunia di Pantai Irama, Bachok, kira-kira 9 pagi hari ini berusia 24 tahun dan adalah penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) serta bakal ahli farmasi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pemeriksaan luaran badan mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan keputusan bedah siasat masih belum diterima.

"Mangsa penuntut USM dan kini menjalani latihan praktikal sebagai ahli farmasi di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.

"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar rumah di Kota Bharu dengan memandu Perodua Axia pada 6.30 pagi dan dilihat ibunya yang menyangka dia mahu ke tempat kerjanya.

"Namun, pada 7.30 pagi, mangsa menghantar mesej menerusi Whatsapp kepada abangnya dan mengarahkan supaya mengambil Perodua Axia yang diletakkan di Pantai Irama," katanya.

Beliau berkata, abang dan adik mangsa ke pantai itu dan menemui kereta terbabit diletakkan berhampiran tandas awam sebelum mencari mangsa dan menemuinya terdampar di tepi pantai.

Katanya, ketika ditemui kira-kira 100 meter dari keretanya, mangsa sudah meninggal dunia.

"Soal siasat juga dapati mangsa menghidap kemurungan sejak berusia 19 tahun dan pernah mendapatkan rawatan termasuk ketika di universiti.

"Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk dibedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita berkaitan:

Diminta datang, temui jasad dah terdampar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 7:27 PM