Aeril dedah nama dan wajah individu yang menipunya di Twitter. FOTO Arkib NSTP.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


SELEPAS hampir setahun bersabar, pelakon Aeril Zafrel, 29, berharap kes ditipu ahli perniagaan bergelar Datuk pada Mac tahun lalu, dapat diselesaikan segera.

Melalui laman Twitter milik Aeril, pelakon itu memuat naik status bersama foto dipercayai individu terbabit yang menipunya dan meminta sesiapa yang mengenali lelaki itu dapat membantunya membawa lelaki itu ke muka pengadilan.

Pelakon filem 7 Petala Cinta dan Budak Pailang itu dikatakan berusaha menghubungi individu itu mahu pun isterinya tetapi gagal. Malah keluarganya juga tidak mahu bertanggungjawab.

Laporan polis juga sudah dibuat tetapi selepas dua bulan, belum ada apa-apa maklumat.

Aeril ketika dihubungi berkata, polis sudah menjalankan siasatan terperinci dan meminta diberi sedikit masa lagi.

Katanya, kelewatan proses disebabkan polis perlu mengikut prosedur tertentu seperti menunggu data bank untuk melihat sama ada wujud sebarang transaksi berkaitan.

“Individu itu tahu saya selalu mencari dan menghubunginya tapi dia memang enggan memberikan kerjasama,” katanya kepada Harian Metro.

Pada 1 Oktober lalu, Aeril dan isteri, Wawa Zainal membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya terhadap individu itu selepas didakwa menipu mereka sebanyak RM100,000.

Wang itu diserahkan secara tunai kepada individu itu pada Mac tahun lalu bagi tujuan menghasilkan produk minyak wangi.

Selepas menyerahkan wang, individu itu berjanji produk akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan tetapi sehingga sekarang dia didakwa terus menghilangkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:30 PM