GAMBAR yang dijadikan gambar profil aplikasi WeChat
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON Datuk Jalaluddin Hassan, 64, bengang dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang menyalahgunakan gambarnya berpakaian wanita ketika menjayakan teater Patung Kertas, 10 tahun lalu.

Gambar bersama seorang lagi pelakon teater itu, Syed Wafa itu dijadikan gambar profil aplikasi WeChat beserta status 'darling!...For Service!.

"Saya dapat tahu perkara ini apabila dimaklumkan oleh Syed Wafa. Ini gambar lama ketika saya berlakon tetater Patung Kertas. Saya tidak faham apa motif sebenar pihak terbabit.

"Kalau tujuannya adalah untuk perkara tidak bermoral, apa saya boleh katakan dia biadab, kurang ajar dan keterlaluan. Jangan jadikan orang lain mangsa semata-mata untuk kepentingan peribadi," katanya kepada Harian Metro.

Jalaluddin yang melakonkan watak Abang Long dan Kak Long dalam teater itu menganggap tindakan individu berkenaan satu fitnah.

"Umum mengetahui watak itu sekadar lakonan. Tidak ada kena mengena dengan aktiviti lain. Jadi, apa yang dilakukan ini memang berniat jahat.

"Sejujurnya, saya sendiri tergelak melihat gambar ini. Namun, kita tidak tahu sejauh mana persepsi masyarakat. Apatah lagi, sekarang ini menjadi trend perkara tular.

"Jangan nak perbodohkan orang ramai. Dalam masa sama, masyarakat pun kalau boleh tidak cepat terpengaruh. Banyak lagi perkara berfaedah boleh dikongsi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 12:07 PM