GAMBLE ketika keluar dari mahkamah Old Bailey di Britain, kelmarin. FOTO Agensi/PA
AFP

London: Seorang remaja Britain berjaya mengakses akaun komunikasi milik perisik tertinggi Amerika Syarikat (AS) dan pegawai keselamatan termasuk bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan, mahkamah London diberitahu.

Kane Gamble, 18, yang ketika itu berusia 15 dan 16 tahun, dari biliknya di Coalville, tengah Britain menyamar sebagai sasarannya untuk mendapatkan maklumat paling sulit.

“Kane Gamble mengakses akaun komunikasi milik beberapa pegawai perisik tertinggi dan kakitangan kerajaan.

“Dia juga mendapat akses agensi penguatkuasa undang-undang AS dan rangkaian agensi risikan,” kata pendakwa raya John Lloyd-Jones kepada mahkamah jenayah Old Bailey.

Mahkamah turut diberitahu bagaimana remaja terbabit mengasaskan kumpulan Crackas With Attitude (CWA) yang menggunakan ‘kejuruteraan sosial’ dengan memanipulasi pusat panggilan dan meja bantuan untuk memberi maklumat rahsia yang kemudian dieksploitasi.

Gamble menyamar sebagai Brennan yang membuat panggilan ke syarikat telekomunikasi, Verizon dan AOL walaupun cubaannya menyamar hampir terbongkar ketika ditanya mengenai haiwan peliharaan pertama bekas Ketua CIA itu.

Beberapa dokumen sulit dilaporkan juga diperoleh daripada akaun emel peribadi Brennan dan remaja itu berjaya mendapatkan maklumat mengenai operasi ketenteraan dan risikan di Iran dan Afghanistan.

“Dia juga dilihat berjaya mengakses akaun iCloud Brennan,” kata pendakwa raya itu lagi.

Gamble mengaku bersalah atas 10 tuduhan melanggar akta salah guna komputer antara Jun 2015 hingga Februari 2016 dan menunggu dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:50 AM