DRON lengkap dengan pelampung yang digunakan pengawal pantai Australia untuk menyelamat perenang yang hampir lemas di negara itu. FOTO Little Ripper Lifesaver
Reuters

Sydney: Sebuah dron berjaya menyelamatkan dua lelaki daripada lemas, operasi menyelamat kali pertama di dunia menggunakan teknologi yang sesuai digunakan di lautan, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa memberitahu, pasukan penyelamat pantai menjalani sesi latihan menyelamat menggunakan dron di sebuah pantai di selatan Brisbane.

Bagaimanapun, latihan itu bertukar operasi menyelamat sebenar selepas dua lelaki dikesan menghadapi masalah ketika berenang di luar kawasan bendera keselamatan.

Pengawal pantai mengemudi dron terbabit ke arah dua lelaki itu dan menjatuhkan pelampung bagi membolehkan mangsa berpaut dan berenang ke pantai.

Operasi itu mengambil masa kira-kira 70 saat dan dua lelaki berkenaan didapati mengalami keletihan tetapi tidak cedera.


GAMBAR yang dirakamkan dron itu menunjukkan pelampung dijatuhkan pada mangsa. FOTO Little Ripper Lifesaver

“Sebelum ini tidak pernah dron dilengkapi dengan alat pelampung digunakan untuk menyelamat mangsa yang hampir lemas seperti ini,” kata Timbalan Perdana Menteri New South Wales (NSW), John Barilaro.

Barilaro berkata, kerajaan membelanjakan AS$430,000 (RM1.7 juta) untuk ujian percubaan penggunaan teknologi dron pada bulan lalu.

Australia yang mempunyai 24 juta penduduk tinggal di tepi pantai mencatatkan sebanyak 291 kes lemas sehingga Jun lalu, meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya.

Empat puluh orang dilaporkan lemas pada musim panas 2017/18, menurun daripada 69 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:43 AM