Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


BUDAK lelaki berusia enam tahun yang parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam, disahkan meninggal dunia jam 5.18 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa Muhammad Raffael Zayna Fakarudin akan dibedah siasat esok pagi bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi hari ini, mangsa tinggal berdua bersama adik lelakinya di dalam rumah, manakala bapanya menghantar tiga lagi abangnya ke sekolah.

Kejadian hanya disedari bapa mangsa berusia 40-an selepas pulang ke rumah dan mendapati anaknya yang sebelum itu sedang lena tidur di dalam bilik ditemui terbaring di bawah pangsapuri dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik di Meru sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kerana keadaannya kritikal.

Shafien berkata, kanak-kanak itu parah selepas cedera di kepala, tangan kanan, serta bahagian dalaman di paru-paru dan perut.

Berita berkaitan:

Jumpa anak terbaring, tak sedarkan diri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 9:48 PM