Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA suspek insiden pembunuhan ahli kongsi gelap di stesen minyak Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor, bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Gan Jia Ji, 20, yang berasal dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru, didakwa melakukan pembunuhan ke atas Tan Aik Chai, 44 (ketika kejadian) di stesen minyak Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru, 7.30 malam, 17 Disember 2017.

Bagi perbuatan itu, Gan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Gan mengangguk faham akan pertuduhan dihadapinya selepas dibaca jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Dia yang tidak diwakili peguam ditahan pada 21 Disember 2017 bersama lima suspek yang masih bebas.

Di mahkamah sama, seorang pembantu restoran, Yip Kah Hou, 24, turut dihadapkan atas pertuduhan bersubahat dengan Gan melakukan pembunuhan itu.

Yip yang berasal dari Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, faham akan pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan.


TERTUDUH, Gan Jia Ji (kanan) dan Yip Kah Hou dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Tertuduh yang diwakili peguam Chuah Shyue Chien itu bersama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa melakukan persubahatan jenayah dengan Gan dan lima yang masih bebas dalam melakukan pembunuhan berkenaan di lokasi, masa dan hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun sama yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Berita berkaitan:

9 suspek kes bunuh Taman Pelangi diburu

Suspek kes samun juga

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 1:07 PM