GAMBAR dari video menunjukkan detik Yulia jatuh. FOTO Agensi
Agensi

Minsk: Keterujaan penonton menyaksikan aksi udara dalam pertunjukan sarkas bertukar cemas apabila seorang akrobat wanita jatuh terhempas ke lantai dari ketinggian 12 meter.

Satu rakaman kejadian yang diambil menerusi telefon bimbit menunjukkan artis trapez berkenaan, Yulia Tikaeva jatuh tersasar dari jaring keselamatan dalam satu pertunjukan di Gomel, Belarus.

Penonton terdiri daripada kanak-kanak dan ibu bapa itu menyaksikan saat mencemaskan berkenaan apabila bahagian kepala Yulia terhentak pada lantai dan terus pengsan.

Wanita berusia 20 tahun itu kemudiannya diusung keluar dari pentas pertunjukan.

Dia kini berada di dalam unit rawatan rapi selepas mengalami kecederaan serius di kepala.

Salah seorang penonton dikenali sebagai Elena berkata: “Dia terlepas dan terjatuh di luar jaring keselamatan sambil mukanya menghadap ke bawah.

“Kami duduk di barisan keenam dan melihat bagaimana dia jatuh. Penonton bertepuk tangan ketika dia diusung keluar. Di akhir pertunjukan, pekerja sarkas memberitahu mereka terima panggilan dari hospital dan wanita itu masih hidup tetapi tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut doktor, Yulia mengalami bengkak pada bahagian kepala, namun tidak ada tulang yang patah.

Jurucakap sarkas bandar Gomel berkata: “Dia masih mendapatkan rawatan. Tulangnya tidak patah, malah tiada yang retak.

“Dia mengalami hematoma kepala, namun doktor memberitahu dia tidak memerlukan sebarang pembedahan setakat ini. Kita akan lihat bagaimana keadaannya selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 4:37 AM