ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat dari sungai. - AFP

Palembang (Indonesia): Sekurang-kurangnya 13 orang mati selepas bot penumpang karam di Pulau Sumatera, dua hari selepas insiden sama berlaku yang mengorbankan sembilan mangsa.

Bot berkenaan membawa seramai 55 penumpang melalui Sungai Musi sebelum merempuh ombak besar dan tenggelam di tengah cuaca buruk, kata jurucakap polis, Robinsor Siregar.

Katanya, polis masih lagi mencari kapten bot berkenaan yang dilaporkan selamat tetapi hilang.

“Kita menahan pembantunya untuk mengenal pasti sama ada bot berkenaan berada dalam keadaan baik atau berlaku kecuaian oleh kru mereka,” katanya.

Mayat mangsa ditemui di tebing sungai dan satu daripada mereka dijumpai penduduk tempatan.

Ia nahas bot terbaru di Indonesia yang bergantung kepada kaedah pengangkutan itu untuk membawa penduduk di 17,000 pulaunya, tetapi mempunyai rekod keselamatan meragukan.

Pada hari tahun baru, sembilan mangsa terkorban selepas bot penumpang karam sebaik berlepas dari bandar Tarakan ke Tanjung Selor di perairan Borneo.

Julai lalu, lapan mati lemas dalam kemalangan bot di laluan sama dari Tarakan ke Tanjung Salor.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 7:29 AM