KLOPP enggan layan khabar angin Coutinho bakal sertai Barcelona. FOTO Reuters
AFP

Burnley, England: Juergen Klopp menegaskan Philippe Coutinho benar-benar cedera dan tidak dapat diturunkan ketika pasukannya menang 2-1 di Burnley dan pada masa sama enggan melayan spekulasi mengenai perpindahan pemain Brazil itu ke Barcelona.

Coutinho terlepas aksi di Turf Moor kelmarin akibat kecederaan paha dan khabar angin mengenai perpindahannya ke Nou Camp semakin hangat diperkatakan.

Ia diperkukuhkan lagi apabila beberapa gambar dalam laman web penaja kelab Catalunya itu, Nike memaparkan nama Coutinho di jersi Barcelona. Bagaimanapun, iklan itu sudah dipadam.

Pengurus Reds, Klopp mendakwa tidak ada isu terselindung di sebalik ketiadaan pemain berusia 25 tahun itu dalam senarai pemain Liverpool di Turf Moor.

“Saya ada mendengarnya (gambar jersi Barcelona dengan nama Coutinho). Ada orang memberitahu saya dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak berminat dengan perkara itu,” kata Klopp.

“Dia (Coutinho) dan Mohamed (Salah) mengalami kecederaan. Tidak begitu serius tapi tidak boleh bermain hari ini. Mereka juga mungkin tidak ada dalam pasukan pada perlawanan menentang Everton nanti.”

Ketiadaan Coutinho dan Salah digunakan sebaik mungkin oleh pertahanan Estonia, Ragnar Klavan untuk menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada minit akhir perlawanan selepas Johann Berg Gudmundsson menyamakan kedudukan.

Klopp berpuas hati dengan semangat juang pemain pertahanannya apatah lagi pada perlawanan yang menyaksikan peluang mereka untuk menang agak tipis.

“Saya gembira dengan sikap serta karakter yang ditunjukkan pemain,” kata Klopp.

“Anda perlu menang perlawanan sebegini apatah lagi ketika anda tidak berada dalam keadaan 100 peratus.

“Burnley bermain dengan motivasi tinggi. Kami perlu bersedia menghadapi hujan dan angin.

“Cuaca agak sejuk dan anda perlu menumpukan perhatian. Anda perlu bekerja keras, bermain sebagai satu pasukan, berdisiplin dan mengharapkan sedikit tuah. Kami berhak memperoleh tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 7:35 AM