RADIN. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Sejak mengacarakan program PM Live di Astro Ria, penyampai radio Era FM, Radin mengakui namanya semakin dikenali sekali gus memberi peluang kepada khalayak mengenalinya dengan lebih dekat.

Kata Radin, jika sebelum ini hanya suaranya saja berkumandang di radio tetapi kini wajahnya menghiasi televisyen pula.

“Sebelum ini orang mungkin biasa mendengar suara saya di radio. Jadi, selepas terbabit dalam program PM Live, orang dapat mengenali siapa sebenarnya Radin.

“Malam mendengar suara, sebelah siang wajah saya pula terpapar di TV. Secara tidak langsung, program itu membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali diri saya dengan lebih dekat,” katanya.

Kata Radin, meskipun pembabitannya dalam bidang pengacaraan semakin mencuri tumpuan sehingga ada yang menasihatinya meninggalkan kerjayanya di radio tetapi Radin tidak pernah lupa asal usul dalam industri hiburan.

“Memang pada mulanya saya memasang impian menjadi penyampai berita. Bagaimanapun, rezeki saya berpihak dalam dunia penyiaran radio lalu orang pun mula kenal saya sebagai penyampai radio.

“Alhamdulillah, saya kemudian diberi peluang mengacarakan program PM Live. Sampai ada yang nasihatkan agar saya tinggalkan radio, tetapi insya-Allah saya akan terus bersama Era FM.

“Tiada masalah untuk saya aktif dalam bidang pengacaraan dan penyampai radio kerana memang suka bercakap,” katanya.

Mengenai perancangan kerjaya pada 2018, Radin beritahu dia mahu mengendalikan program bual bicara sendiri.

“Saya berharap akan mendapat lebih banyak peluang untuk mengacarakan program TV dan itulah cita-cita asal saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 7:24 AM