Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


KEMATIAN wanita 20 hari selepas melahirkan anak perempuannya di Batu Pahat, Johor, semalam berpunca daripada darah beku dalam saluran darah ke paru-paru.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, arwah, Roslina Arifin, 39, yang meninggal dunia kira-kira 2 pagi semalam, mengalami simptom 'Massive Pulmonary Embolism'.

"Pada 12 Disember lalu arwah dimasukkan ke wad Hospital Pantai dan melahirkan anak perempuan secara pembedahan dan anak kemudian dibenarkan pulang ke rumah dan selamat.

"Kelmarin, suaminya, Azrow Othman, 41 menghantar mangsa ke Hospital Pantai kerana mengadu sakit sesak nafas. Mangsa pengsan dalam perjalanan ke Hospital Pantai dan dirawat di Unit Kecemasan hospital itu namun kira-kira satu jam kemudian mangsa disahkan meninggal dunia.

"Daftar kematian atau permit mengubur dan perakuan sebab kematian dikeluarkan oleh pihak Hospital Pantai yang ditandatangani oleh Dr. Ema Juliaty Jamaluddin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, segala prosedur pengebumian dibuat oleh keluarga arwah dengan pengesahan permit kubur terbabit dan keluarga membuat laporan polis sebaik urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai Batu Pahat 12.30 tengah hari semalam selesai.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan kegembiraan suami yang baru sahaja menerima zuriat perempuan bertukar pilu apabila isterinya meninggal dunia, akibat sesak nafas, kira-kira 2 pagi semalam.

Azrow Othman, 43, berkata dia tidak menyangka isterinya, Roslina Ariffin, 39, meninggal dunia selepas melahirkan anak bongsu mereka, Nur Aishy Amanda pada 12 Disember lalu.

Katanya, isterinya yang melahirkan anak perempuannya itu menerusi pembedahan tiada penyakit atau sebarang masalah ketika mengandung.

Dalam pada itu, sahabat allahyarham, Amnah Mohamed, 52, berkata, dia mula mengenali arwah sejak suami masing-masing bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batu Pahat lebih 10 tahun lalu.

Beliau terkilan kerana tidak dapat menziarahi arwah selepas bercadang menyelesaikan dahulu urusan persekolahan yang bermula semalam.

"Kami berhubung melalui WhatsApp dan memang sudah berjanji dengan arwah ingin menziarahinya namun dia menasihati supaya saya mendahulukan dahulu urusan persekolahan anak-anak," katanya yang tinggal di Simpang Lima Parit Sulong.

Allahyarham turut meninggalkan empat lagi anak lelaki berusia antara 5-16 tahun.

Berita berkaitan:

Moga syurga untukmu...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 10:28 AM