JUNG Hye Sung
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Drama bersiri baru stesen TV Korea Selatan SBS, Doubtful Victory menyaksikan Jung Hye Sung pertama kali membawa watak utama selepas hampir lapan tahun menceburi bidang lakonan.

Ini juga kali pertama pelakon jelita itu membintangi watak sebagai pegawai polis bernama Jin Jin Young.

Menurut Hye Sung, drama 40 episod itu membolehkan dia bertukar angin dan mencuba watak berbeza.

“Dalam drama sebelum ini, saya sering mendapat watak wanita berperwatakan ayu dan bercakap lepas.

“Kali ini, saya mahu menunjukkan kepada penonton boleh melakonkan watak berbeza iaitu wanita berkarisma dan bergaya,” katanya.

Sebelum Doubtful Victory, Hye Sung berlakon drama bersiri Good Manager dan Manhole yang turut bersiaran tahun ini.

“Sekarang saya sibuk dengan pelbagai projek tanpa berehat. Diharapkan selepas ini penonton dapat mengingati saya sebagai pelakon serba boleh,” katanya.

Mengenai persiapan wataknya, pelakon terkenal menerusi drama Love in the Moonlight itu memberitahu mengikuti latihan menggunakan senjata api.

“Ada jurulatih seni mempertahankan diri mengajar saya menembak sebagai persiapan babak sebenar. Selepas beberapa sesi, saya sudah pandai menggunakan senjata api,” katanya.

Dalam pada itu, Hye Sung mengakui tidak pernah bimbang sambutan penonton terhadap drama arahan Shin Kyung Soo itu.

“Kalau seronok berlakon dan menjalin hubungan baik dengan kru produksi sudah memadai. Semangat itu pasti diketahui penonton.

“Selain itu, saya cuba untuk fokus terhadap satu kerja dan tidak memikirkan perkara lain,” katanya.

Bagi Hye Sung, kejayaan dalam karier seni pasti datang apabila dia melaksanakan tugasannya dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

“Saya juga berpendapat mempertingkatkan kemahiran berlakon lebih penting daripada bergantung kepada bakat. Namun, tidak dinafikan seseorang juga memerlukan sedikit tuah,” katanya.

Seronok jadi Jin Young

Bercerita mengenai wataknya pula, Hye Sung menggambarkan Jin Young sebagai pegawai polis wanita yang ditakuti rakan sekerja berikutan sentiasa menetapkan prestasi tinggi terhadap tugasannya.

“Jin Young sentiasa kelihatan anggun walaupun hanya makan mi segera dan memakai pakaian murah.

“Dia juga terlampau mementingkan persembahan kerja dan ini menyebabkan pegawai lain takut dengannya.

“Saya berpendapat kami berkongsi sikap sama kerana ada kalanya saya tamak dan terlalu bersemangat apabila membabitkan karier lakonan,” katanya.


JUNG Hye Sung

Menjadi satu-satunya pegawai polis di unit penyiasat, Jin Young selalu mengabaikan semangat berpasukan dan melaksanakan tugasan mengikut cara sendiri.

Ini menyebabkan rakan sekumpulan Jin Young mengelak daripada bersemuka dengannya.

Turut membintangi drama ini ialah Yoon Kyun Sang sebagai bekas banduan dan penyiasat palsu bernama Oh Il Seung.

Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Kyun Sang, Hye Sung memberitahu tertarik dengan perwatakan dan semangat pelakon itu.

“Saya seronok berkerja dengan dia. Begitu juga dengan pelakon lain kerana mereka peramah dan suka membuat lawak.

“Kami juga sering meluangkan masa bersama dengan makan di luar,” katanya.

Suka lepak di Sungai Han

Sekiranya tidak berlakon, Hye Sung gemar meluangkan masa bersiar-siar di sekitar Sungai Han, Seoul bersama rakannya.

“Saya juga meluangkan masa berehat membuat gubahan bunga dan kadang-kadang bersiar-siar dengan kereta,” katanya.

Bukan saja berlakon, Hye Sung juga mahir menyediakan masakan masyarakat Korea.

“Walaupun suka makanan tempatan, saya akan cuba pelbagai jenis hidangan dan resipi berbeza,” katanya.

Dalam Doubtful Victory, Il Seung mengubah identitinya dan menjadi penyiasat palsu dengan menyertai Unit Siasatan Metropolitan.

Dia kemudian berkenalan dengan Jin Young yang menjadi pegawai polis demi merungkai kebenaran di sebalik kematian bapanya.

Doubtful Victory boleh disaksikan di saluran One HD (Astro 393) setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 7:18 AM