Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Tiga penjenayah maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bharu pada 6.45 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an itu meninggal dunia di lokasi.

“Terdahulu, kami mengesan Suzuki Swift putih dinaiki suspek di Bandar Baru Selayang susulan hebahan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung kes samun pelanggan.

“Kami cuba menahan kereta terbabit namun suspek memecut. Kami dapat memintas selepas mengejar sejauh kira-kira 10 kilometer,” katanya pada sidang media di lokasi.

Menurut beliau, dalam usaha melepaskan diri, suspek melepaskan sedas tembakan ke arah pihaknya.

“Bagi mempertahankan diri, kami membalas tembakan menyebabkan ketiga-tiga suspek maut.

“Pemeriksaan pada kereta itu menemui dua parang, sepucuk pistol bersama empat peluru dan barangan peribadi disyaki hasil samun,” katanya.


Antara mayat penjenayah yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bharu pada 6.45 petang hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menurut Fadzil, pihaknya masih mengenal pasti identiti suspek.

Mayat ketiga-tiga penjenayah itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kami yakin dapat menyelesaikan beberapa kes samun pelanggan bank yang mengeluarkan wang dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah ini.

“Sepanjang tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor merekodkan 86 kes samun pelanggan bank dengan anggaran kerugian RM8 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 11:48 PM