KELUARGA arwah menyiram air mawar di pusara arwah yang meninggal dunia malam tadi. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


JENAZAH Mohammad Ariffuddin Mohd Nor Hafis, 9, yang meninggal dunia disebabkan kanser tisu, malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Cempaka, Meru, Klang 10.30 pagi, hari ini.

Kira-kira 100 ahli keluarga, sanak saudara serta rakan arwah hadir.

Terdahulu, jenazah arwah disembahyangkan di rumah datuknya di Jalan Seri Kenangan, Meru pada 8 pagi.

Jenazah kemudian dibawa dan disembahyangkan di Surau Darul Islam, Kapar sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Cempaka, Meru.

Arwah meninggalkan bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33; ibunya, Norazlin Mohamad, 28, serta tiga adik berusia antara dua bulan dan lima tahun.

Mohammad Ariffuddin meninggal dunia, 11.40 malam tadi berikutan penyakit yang dihidapinya sejak Januari lalu.

Kisahnya mendapat perhatian selepas akhbar memaparkan pada 12 Julai lalu penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman lain.

Penyakit yang dihidapi itu menyebabkan mata kirinya terjojol keluar manakala mata kanan hampir buta.

Semalam arwah berharap dirinya kembali sihat seterusnya dapat ke sekolah untuk berjumpa rakan serta guru.

Berita berkaitan

Adik Arif sudah tiada

'Saya mahu kembali sihat'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 2:29 PM